KUALA LUMPUR: Gaji yang ditawarkan oleh koperasi tidak sesuai dengan ekonomi semasa, menyebabkan kebanyakan anak muda tidak tertarik untuk bekerja di koperasi, demikian kata Senator Dato’ Hussain Awang.
“Kementerian telah membangunkan dasar koperasi Malaysia bagi memperbaharui hala tujuh gerakan koperasi ini mengikut perkembangan arus perdana agar ia lebih berdaya saing dan lebih daya tahan sesuai dengan keinginan anak muda.
“Soalan tambahan, sejauh mana gerakan koperasi di bawah seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ini berjaya menarik minat anak muda untuk berkhidmat di koperasi?
“Sedangkan gaji atau pendapatan yang ditawarkan dilihat tidak kompetitif dan tidak bersesuaian dengan situasi ekonomi masa kini,” katanya.
Beliau mengemukakan demikian ketika mencelah Senator Datuk Mustafa Musa kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini hari ini.
Pada soalan asal, Mustafa meminta kementerian berkenaan menyatakan jumlah koperasi di negeri Melaka dan bagaimana kerajaan menggandakan penyertaan belia menyertai koperasi sebagai sumber pendapatan alternatif pada masa kini.
Timbalan Menterinya, Dato’ Ramanan Ramakrisnan berkata, kebanyakan anak muda lebih berminat bekerja sendiri kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan.
“Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana kalau kita tengok sekarang, belia yang ada kebanyakan mereka minat bekerja tetap kerana pendapatan itu lebih menarik dan kurang berisiko berbanding dengan menjadi satu usahawan.
“Sesuatu keputusan dan kawalan ke atas perniagaan yang lebih mudah juga diberikan kalau mereka membuat perniagaan sendiri kerana di bawah pengurusan sesebuah syarikat dia berbeza berbanding dengan kalau di bawah platform korperasi yang mempunyai banyak peraturan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024