Ringgit merosot beri kesan kos sara hidup rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ringgit yang mengalami kemerosotan telah menyebabkan rakyat semakin gusar dengan situasi tersebut di mana mengakibatkan kenaikan harga barangan import seterusnya membabitkan kos sara hidup mereka.

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sshubungan itu meminta kerajaan menyatakan langkah strategik jangka pendek bagi mengukuhkan nilai Ringgit yang kini merosot sehingga RM4.73 berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS).

- Advertisement -

“Minta Menteri Kewangan menyatakan strategi dasar jangka pendek untuk menguruskan rintangan ekonomi bagi mendepani kejatuhan nilai Ringgit,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini di sini.

Menteri Kewangan II, Senator Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan dalam jawapannya menyatakan kerajaan komited untuk pastikan prestasi matawang negara berada pada tahanp lebih baik dan mengukuh.

Menurut beliau, pelbagai langkah telah dilakukan antaranya ialah Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan pasaran tukaran asing dalam negara kekal teratur dan mengekalkan kestabilan kewangan.

“BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada Ringgit oleh syarikat pengeksport, selain menggalakkan penggunaan matawang tempatan dalam urusan itu agar kebergantungan Dollar Amerika dikurangkan.

“Kita dan BNM telah mengambil tindakan bersepadu dan selaras bagi membawa masuk aliran wang dalam pasaran tukar wang asing seperti menggalakkan agensi kerajaan membawa pulang pelaburan asing.

“Ia membawa pulang dan menukar pendapatan tersebut kepada Ringgit dengan lebih konsisten dan kita juga mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta bagi mengurangkan tekanan Ringgit,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -