Senator PAN nafi Islam terancam di negara ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam di negara ini disifatkan semakin terancam sebagaimana yang dapat disaksikan apabila pelaksanaan perundangan syariah tidak dapat dilaksanakan secara teratur.

Senator Hussin Ismail berkata, perkembangan akhir ini menunjukkan terdapat pihak mula mempersoalkan pelaksanaan tersebut sedangkan Islam merupakan agama Persekutuan.

- Advertisement -

“Bagaimana boleh dikatakan Islam tidak terancam sedangkan jika dilihat hari demi hari, bila disebut Islam tak terlepas dari syariah, negeri ada undang-undang, ada akta, dan Parlimen ada Rang Undang-Undangnya.

“Tetapi kita lihat perkembangan mutakhir, pelbagai pihak mula mempersoalkan (perundangan syariah) sehingga akhirnya di mana letaknya nanti pelaksanaan syariah nak diletak?

“Di Parlimen pun tak ada peruntukan, di negeri pun sudah dianggap tidak berperlembagaan, macam mana kalau kita tidak rasa terancam dalam keadaan sebahagian daripada pelaksanaan syariah itu sendiri sudah tidak dapat dilaksanakan secara teratur,” persoalnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat celahan ucapan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja oleh Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Mujahid dalam reaksi balasnya mengulangi ucapan awal beliau yang menafikan gambaran dan situasi bahawa Islam di negara ini diancam, termasuk menyatakan pelaksanaan syariah perlu mengikut peraturan yakni Perlembagaan.

“Jikalau ia berlanggar dengan Perlembagaan yang menyatakan bahawa, kalau mana-mana keputusan yang dibuat di Dewan Undangan Negeri atau Undang-Undang, jika bersalahan di peringkat Persekutuan, maka yang akan diikuti ialah yang di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut ditanya Senator Dr Dominic Lau mengenai pendiriannya sekiranya berlaku percanggahan antara Perlembagaan dan Al-Quran, namun katanya memerlukan satu kupasan khas. – HARAKAHDAILY 18/3/2024