Saddiq ingatkan Rayer pendirian mengenai keadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berharap agar Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan agar bertindak adil dalam soal pemberian peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen.

Tambahnya, Menteri Kewangan II itu juga diminta agar tidak menuruti saranan RSN Rayer (PH-Jelutong) agar Ahli Parlimen pembangkang tidak dilibatkan dalam sesi libat urus program peruntukan oleh Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

- Advertisement -

“Saya kenali Yang Berhormat Menteri sebagai seorang yang profesional, teknokrat dan tidak mengira politik kepartian. Cuma saya berharap bahawa Yang Berhormat Menteri tidak dengar nasihat Yang Berhormat Jelutong.

“(Saranan Jelutong) seperti (seolah-olah) di kawasan pembangkang tidak ada warganegara Malaysia berbangsa India,” ujarnya sewaktu mencelah pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan bagi Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Kali Pertama 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Syed Saddiq, saranan Ahli Parlimen Jelutong itu menggambarkan peruntukan di kawasan pembangkang disekat hanya kerana berbeza pendapat dengan ideologi parti kerajaan sehingga rakyat perlu terus dihukum.

“Saya dalam bab ini saya ingat saya sebenarnya hormat juga (Ahli Parlimen) Jelutong. Saya ingat kata-katanya sebelum ini semasa dia jadi pembangkang kita perlu pastikan rakyat dijaga, keadilan. Jangan kita hukum kerana pembangkang atau pun kerajaan. Itu tak apa itu mungkin pandangan peribadi Ahli Parlimen.

“Saya kenal Yang Berhormat (Menteri Kewangan II) sebagai teknokrat. Saya mohon kepada Yang Berhormat Menteri seorang teknokrat, seorang yang saya hormati, saya harap ketepikan nasihat tersebut dan perintahlah secara adil,” ujarnya.

Terdahulu, Rayer sewaktu mencelah dalam sesi penggulungan itu mendesak agar Ahli Parlimen pembangkang tidak dilibatkan dalam taklimat peruntukan MITRA oleh Kementerian Perpaduan Negara dan juga tidak menyalurkan peruntukan tersebut kepada mereka. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -