Pembangunan negeri pembangkang adalah isu keadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menegaskan bahawa peruntukan pembangunan untuk negeri pembangkang ialah perkara berkaitan keadilan, bukannya perbezaan kepartian.

Beliau menyentuh berkenaan dengan pembinaan penambahbaikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu yang bernilai RM6.5 juta oleh Kementerian Pengangkutan.

- Advertisement -

“Saya nak jawab sikitlah sahabat saya dari Bangi tadi. Ini bukan isu negeri pembangkang ataupun negeri kerajaan, ini semangat federalisme. Maknanya (jika) diberi itu adalah bentuk keadilan.

“Islam kata keadilan itu meletakkan sesuatu di tempatnya. Jadi bila kita buat, adil, dapatlah pahala. Kalau kita zalim, dapat dosa. Mudah sahaja. Itu cara kita memimpin sesebuah negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2023 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Terdahulu Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang turut membahaskan rang undang-undang yang sama menyindir pembangkang yang katanya sering mengeluarkan kenyataan bahawa negeri-negeri pembangkang sering dianaktirikan.

Syahredzan merujuk kepada peruntukan sebanyak RM6.5 juta yang diperuntukkan bagi membaik pulih Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu tersebut. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -