Pertahan suasana harmoni hingga generasi akan datang

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Setiap keluarga Malaysia perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan yang sensitif terhadap sesuatu kaum.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata suasana harmoni yang dikecapi negara sebelum ini perlu terus dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka sebaliknya tapis, dan selidiki pengkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Perpaduan Negara 2021 secara dalam talian, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan kongres yang dianjurkan bersama Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah satu inisiatif yang sangat murni.

Katanya, ia wajar dicontohi oleh semua pihak bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara ini seluruhnya.

Kongres perpaduan negara yang bertemakan ‘Perpaduan Negara Asas Kesejahteraan Negara’ ini juga, kata beliau, sejajar dengan konsep keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan agar keharmonian antara agama dan bangsa yang pelbagai dapat dijaga.

Beliau berkata, perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

“Maka tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia kerana kita telah berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup untuk aman damai melalui sikap toleransi amat tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ismail Sabri, disebabkan perbezaan pegangan politik ia kadang kala menjadi punca kepada perpecahan, sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan.

“Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

“Perkara ini merupakan satu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin tetapi juga keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjamin selama ini,” katanya.

Lantaran itu, beliau berkata, sewaktu mengambil alih pentadbiran, kerajaan menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

Ini katanya, bagi membolehkan semua pihak dalam keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memuji penganjuran kongres itu yang disertai lebih 1,000 peserta sepanjang dua hari dijalankan secara webinar.

“Saya difahamkan, penyertaan peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

“Menerusi kongres seperti ini, kerajaan berharap ia mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

“Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu-isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini,” ujarnya.

Tambah beliau, gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik juga sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik untuk mengecapi suasana harmoni. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -