PRN Sarawak: Calon ‘kacau daun’ boleh beri kejutan

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TENTUNYA
sukar untuk difahami ketika berkawan, kita berlawan. Ia situasi mudah untuk digambarkan penglibatan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Biarpun berkawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat pusat, namun di peringkat negeri bertembung. PAS menampilkan calon tunggal di Dun Beting Maro. Mengapa ketika bersahabat, masih mahu berlawan. Itu yang ramai jadi pening.

Ia agak sukar difahami kebanyakan orang. Namun politik ia perlu difahami ada ketika secara terbalik. Kalau PAS tidak berkawan dengan GPS sudah tentu lebih banyak calon ditampilkan.

Namun sebagai menghormati sahabat, PAS hanya menurunkan calon tunggal. Itu pun bukan untuk menyaingi GPS di Beting Maro, sebaliknya sebagai pilihan alternatif kepada pengundi.

- Advertisement -

Tidak dapat dinafikan berlaku desakan akar umbi. Mereka mahu wakil rakyat yang lebih muda dan bertenaga.

Kedengaran di sana sini pengundi agak jemu dengan calon lama. Lebih-lebih lagi orang muda. Bagi mereka kalau ada alternatif kepada Razaili Gapor, ia antara pilihan.

Maka mengambil kira kondisi itu Mohammad Arifiriazul Paijo ditampilkan. Usianya 37 tahun. Razaili pula 65. Kalau dibanding kedua-duanya ibarat anak dan bapa.

Inilah sebenarnya misi PAS di Beting Maro. Biarpun Razaili pada wawancara dengan media kesal kehadiran calon PAS, namun PAS melihat sebaliknya.

Amarah calon GPS itu juga dapat dilihat apabila dia menyebut tiada bantuan dihulur PAS ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Mungkin Razaili tidak mendapat maklumat. PAS ada 36 cawangan aktif di Dun Beting Maro. Bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat PKP dihulur sejak dahulu lagi. Sebelum Covid-19 pun Cawangan PAS itu menggerakkan program kebajikan.

Mereka punggut derma sana sini. Biarpun tiada dana daripada kerajaan, namun selagi ada kemahuan, di situ ada daya.

Pemimpin PAS dengan dana yang terhad tetap menghimpun keringat membantu rakyat. Arif Paijo juga sudah lama keluar masuk kampung. Beliau juga Setiausaha PAS Sarawak.

Kacau daun

Ada penganalisis politik menyifatkan kehadiran PAS tidak memberi kesan. Prof Dato’ Dr Jayum Anak Jawan mengandaikan etnik Melayu dan Melanau tidak akan memberi kerusi kepada PAS.

Situasi itu juga baginya akan berlaku kepada mana-mana parti dari luar Sarawak. Pada PRN 2016 jumlah undi yang dikumpul calon PAS hanya 1.72 peratus.

Manakala Amanah pula 1.12 peratus, PKR (10 peratus) dan DAP (20 peratus). Maka mengambil kira data itu ramai menganggap PAS hanya kacau daun.

Pada PRN 2016 Razaili mendapat 4758 undi, manakala calon PAS Hamidah Mokhtar pula 3051. Dan calon Amanah, Andri Zulkarnaen pula sekadar dapat 103 undi. Razaili menang dengan majoriti 1,707 undi.

Ketika itu PAS bertanding di 11 kerusi termasuk Beting Maro. Namun kali ini peratusan undi PAS dijangka melonjak berbanding PRN 2016. Alasannya kerana PAS tumpu di satu kawasan.

PRN kali ini Dun Beting Maro menyaksikan pertandingan lima penjuru. Selain Razaili dan Arif ada tiga lagi calon lain. Mereka iaitu Jacky Chiew Su Chee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Selain itu Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR) dan Safiudin Matsah (Bebas). Namun saingan sekarang ramai melihat antara Razaili dan Arif Paijo.

Kehadiran PAS berbeza berbanding pemimpin Bersatu yang bertanding tiket Bebas. Antaranya Dato’ Ali Biju bertanding di Dun Krian. Ali merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Selain itu Siki Balarik bertanding di Dun Belaga, Ricky Enteri (Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad di Muara Tuang.

Kalau diambil kira apa yang berlaku pada PRN Sabah September 2020, tiga daripada 56 calon Bebas menang. Dan akhirnya mereka menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Peluang Ali di N39 Krian agak cerah. Beliau menang di kerusi terbabit pada PRN 2016 dengan majoriti 1,640. Ketika itu beliau bertanding di atas tiket PKR.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan empat pejuru. Ali ditentang Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik (GPS-PDP). Biarpun beliau bertanding Bebas kelibatnya lebih dikenali 13,074 pengundi di situ.

PRN Sarawak menjadi rebutan 349 calon. Seramai 82 daripadanya dari GPS. Selain itu Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26).

Parti lain iaitu Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), PAS (1) dan Bebas (30).

Berdasar perkembangan yang berlaku, kelebihan ‘body’ calon juga penting. Di Krian, Ali ada jasanya di situ. Manakala di Beting Maro pengundi menghargai jasa kerajaan GPS, namun penglibatan bekas Adun dianggap kurang menyerlah.

Berdasar senario tersebut mungkinkah ada kejutan 18 Disember ini. Biarpun kerajaan GPS masih kebal, namun perlu ada nilai tambah di Sarawak. Ali dan Arif boleh membantu. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -