Setengah abad DUPNP di persada perjuangan

- Advertisement -

PADA hari ini, dalam tahun 1971, Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang (DUPNP) diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan. Pendaftaran dibuat atas nama Persatuan Islam Se-Tanah Melayu Cawangan Dewan Ulamak Negeri Pahang beralamat di: d/a Ustaz Kassim bin Yahya, Padang Tengku, Kuala Lipis. 

Ia diluluskan oleh Pegawai Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Kassim bin Md Amin pada 18 September 1971. Sebelum didaftarkan secara rasmi, alim ulamak PAS Pahang telah lama bergiat aktif di negeri ini. 

- Advertisement -

Nama-nama seperti Ustaz Jamahir Idris, Tengku Ali Sahadan, Ust Ghafar Mohd Nor, Tuan Guru Mohd Arif, Ustaz Nik Ahmad Nik Man, Ustaz Kassim Yahya dan Ustaz Ismail Khatib telahpun mengorak langkah menjelang kemerdekaan negara. 

Cetusan idea penubuhan

Ustaz Jamahir sendiri ketika itu adalah Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP). Selepas pulang dari Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pada 13 Disember 1957, beliau merasakan perlu diwujudkan DUP di peringkat negeri ini bagi melangsungkan kerja-kerja perjuangan.

Lantas pada tahun berikutnya (1958) bersama beberapa orang rakan, mereka menubuhkan Dewan Ulamak PAS Pahang (DUPNP) di Pekan. Sebuah jawatankuasa penaja dibentuk, diketuai oleh Mualim Derafar dan dibantu oleh Naibnya, Tuan Guru Mohd Arif Abas.

DUPNP terus bergerak sehinggalah didaftarkan secara rasmi oleh Ustaz Kasim Yahya pada 18 September 1971.

Kepimpinan

Beberapa nama besar menjadi tonggak dalam memacu dan melayari bahtera perjuangan DUPNP. Ketua-ketua DUPNP itu ialah:

1. Tuan Guru Mohd Arif Abas.
2. Ustaz Nik Ahmad Nik Man.
3. Ustaz Kasim Yahya.
4. Ustaz Abdul Ghaffar Mohd Nor.
5. Ustaz Alwi bin Abdul Hamid.
6. Ustaz Ishak bin Abdullah.
7. Ustaz Ramli bin Muhammad.
8. Tuan Guru Mohd Baki bin Osman.
9. Ustaz Mohd Hashim bin Yahya.
10. Ustaz Abu Kassim bin Manaf.
11. Ustaz Mokhtar bin Senik.
12. YB Ustaz Zuridan bin Mohd Daud (sekarang).

Sebahagian daripada tokoh ini kemudiannya turut diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang. Antara mereka ialah Ustaz Alwi Abd Hamid, Ustaz Ishak Abdullah dan Tuan Guru Mohd Baki Osman.

Paling menarik, Ustaz Ishak Abdullah, sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak ke-6, terlebih dahulu diberi kepercayaan menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang kedua pada tahun 1964. Beliau ketika itu baru berusia 28 tahun.

Hari ini, dua orang anaknya menjadi pimpinan utama Dewan Ulamak PAS Pahang iaitu Ustaz Jauhari Ishak (bendahari) dan Ustaz Mujibur Rahman Ishak (ADN Chenor).

Pelbagai cabaran terpaksa diharungi sejak zaman awal penubuhan (60-an – 70-an), zaman pertengahan (80-an – 90-an) hinggalah ke era milenium kini.

Marhalah pertama

Pada zaman awal penubuhan, DUPNP melalui marhalah takwin dan taalim yang sangat mencabar. Dalam suasana yang sukar untuk mencari tokoh berpendidikan agama, DUPNP berperanan memberikan pendidikan Islam kepada masyarakat bagi mengekang kejahilan ummah.

Dengan pelbagai kepayahan dan kesukaran, mereka menubuhkan pusat-pusat pendidikan Islam berupa sekolah persendirian, pondok dan juga sekolah moden. 

Di waktu siang mereka mengajar dan mendidik di madrasah mereka, malam pula mereka manfaatkan untuk kelas pengajian umum di masjid dan surau serta pelbagai platform lain.

Dalam keadaan jalan raya yang belum sempurna Tuan Guru Yaaqub Muhammad dari Kampung Pesagi Chenor sanggup menyampaikan kuliah di Padang Tengku. Satu perjalanan yang sangat jauh pada waktu itu.

Kewangan juga merupakan cabaran kepada DUPNP di peringkat ini. Menurut catatan mantan Penolong Setiausaha DUPNP, Sheikh Husin Sheikh Jaafar, pada April 1974, mesyuarat jawatankuasa memutuskan setiap anggota Dewan itu hendaklah menderma sebanyak satu ringgit bagi membiayai majlis dialog bersama Dato’ Asri dan Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat.

Pada waktu itu Ustaz Hashim Jasin (Mursyidul Am sekarang) adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa DUPNP. Beliau bertugas di Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan dan kemudiannya bekerja dengan pejabat Felda di Temerloh.

Ustaz Hashim Jasin dilantik sebagai AJK DUPNP dalam mesyuarat di bangunan LKNP Kuantan pada 13 Januari 1974.

Bagaikan berada di zaman Makkiyyah, DUPNP menganjurkan program-program penerangan mengenai asas-asas Islam. Pada 16 Februari 1974 satu muzakarah diadakan di Kuantan dengan tajuk ‘Apa Dia Islam’.

Penceramahnya ialah Ketua DUPNP sendiri, Ustaz Ghafar Mohd Nor dan Naibnya, Tengku Sahadan Tengku Endut. Muzakarah ini kemudiannya disusuli dengan siri-siri ceramah di pelbagai lokasi untuk memberikan kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat.

29 Mei 1976, muzakarah lanjutan diadakan di Kampung Paya Pasir, Chenor. Satu kertas kerja dibentang oleh Ustaz Alwi Abd Hamid. Ustaz Alwi yang bertugas di Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan adalah anak kepada ulamak tersohor Tuan Guru Abd Hamid Pesagi.

Marhalah kedua

Pada zaman pertengahan, DUPNP diberi peranan yang lebih penting bersesuaian dengan era kepimpinan ulamak. Tarbiah ahli dan pemurnian fikrah diutamakan. Usrah dan tamrin menjadi sangat popular di era ini. 

Awal 80-an PAS berhadapan dengan sebilangan ahli yang agak ekstrem. Ini mendorong DUPNP memainkan peranannya menyederhana dan memurnikan fikrah ahli.

Selain provokasi pihak lawan yang semberono mempersenda hukum Islam, pengaruh revolusi di Iran turut mempengaruhi pentas perjuangan Islam tanah air. Ada di antara mereka menunjukkan respons yang agak keras dan sedikit agresif.

Timbalan Ketua DUPNP, Ustaz Nafiri Taozi berkata, tema Muktamar PAS ke arah Tajdid Hadhari pada tahun 1987 dipergunakan sepenuhnya oleh DUPNP untuk memastikan ahli-ahli PAS mempunyai fikrah yang benar dan tepat dengan ajaran Islam.

Dalam marhalah ini juga Dewan Ulamak mengorak langkah memajukan sektor ekonomi memandangkan kerja-kerja perjuangan ini yang sangat memerlukan kepada kewangan. Pada tahun 1991, DUPNP di bawah kepimpinan Tuan Guru Mohd Baki Osman menggerakkan kempen ekonomi menerusi pelancaran Tabung Al Makmur.

Projek ini dilihat besar apabila dilancarkan sendiri oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat ketika itu, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat di Markaz Tarbiyah PAS Darul Amin, Sg Gau.

Marhalah ketiga

Marhalah ini bermula pada era kepimpinan Ustaz Mokhtar Senik. Ia suatu tempoh penting untuk mengawal fikrah ahli dari dirasuki oleh ideologi dan fahaman firqah songsang seperti Libralisme, Sekularisme, Syiah dan sebagainya.

Ini kerana gerakan-gerakan songsang ini mula mengeksploitasi pelbagai aluran ICT untuk menerapkan ideologi mereka di kalangan umat Islam. Pada peringkat ini juga PAS bekerjasama dengan pelbagai pihak. Kerjasama ini penting untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.

Namun ada di kalangan ahli yang kurang faham konsep kerjasama ini lantas menyerap dan menerima semua ideologi yang dianuti oleh kumpulan-kumpulan berkenaan.

Dengan sebab itu, DUPNP telah memperkemaskan program-program tarbiah sedia ada mengikut silibus dan garis panduan tarbiah yang ditetapkan oleh PAS Pusat. Dalam masa yang sama, DUPNP turut menganjurkan Ijtimak Tarbawi PAS Pahang (ITP) setiap bulan di peringkat kawasan. Sehingga kini ITP terus berjalan dengan baik. 

Musim pandemik yang melanda dimanfaatkan oleh DUPNP untuk mengadakan ITP secara bersama seluruh kawasan menerusi platform maya Zoom. Ahli PAS Pahang telah maklum, malam Jumaat minggu terakhir setiap bulan adalah malam untuk mereka mendengar pengisian tarbiah fikrah harakiyah dari para pimpinan menerusi program Ijtima’ Tarbawi PAS Pahang.

Dakwah dan pendidikan

Bidang dakwah dan pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan para ulamak. Pada setiap marhalah yang dijelaskan di atas, DUPNP sentiasa mengutamakan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Atas sebab itu jugalah didapati banyak pondok dan madrasah di negeri ini lahir dari usaha para ulamak PAS.

Di Triang, Tuan Guru Abdullah Muhammad mengasaskan Pondok Darul Huda di Padang Luas dan Pondok An Najah di Bukit Keledang. Pondok An Najah kemudiannya diserahkan kepada menantunya Tuan Guru Muhammad bin Ilyas.

Di Berhala Gantang, Tuan Guru Hasanuddin Muhammad menubuhkan Madrasah Al Falah yang kemudiannya diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang. Ia kemudian dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Al Wosto.

Pimpinan Ulamak pada marhalah pertengahan seperti Ustaz Alwi bin Abdul Hamid, Ustaz Ishak bin Abdullah, Ustaz Ramli bin Muhammad, Tuan Guru Mohd Baki bin Osman, Ustaz Mohd Hashim bin Yahya, Ustaz Abu Kassim bin Manaf dan lain-lain semuanya adalah pendidik.

Kebanyakan mereka adalah tenaga pengajar di Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan dan di institusi lain. Sebahagian mereka pula memiliki madrasah dan pondok sendiri. Antaranya Pondok Darul Ridzuan, Chenor (Tuan Guru Haji Baki), Darul Husna, Nenasi Pekan (Ustaz Ramli), Darul Hijrah, Maran (Ustaz Alwi) dan lain-lain lagi. 

Dalam era semasa, pimpinan Ulamak PAS Pahang meneruskan kerja teras; dakwah dan pendidikan. Ketiga-tiga orang tonggak utama DUPNP memiliki madrasah sendiri. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud mengendalikan Maahad Dirasat Diniyah di Jerantut. Timbalannya, Ustaz Nafiri Toazi pula memiliki pondok di Kampung Purun, Temerloh. Manakala Naib Ketua, Ustaz Khairul Azmi Al-Hafiz pula adalah mudir di Tahfiz Darul Fikri, di Sri Damai, Kuantan yang diusahakan bersama Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar.

Ulamak dan penulisan

Dalam aktiviti dakwah di bidang penulisan DUPNP menampilkan anggotanya yang aktif dalam bidang ini. Tokoh veteran yang banyak menghasilkan kitab agama ialah Tuan Guru Yaakub Muhammad Al Fasaqi (Pesagi).

Kitab-kitabnya diterbitkan di Kelantan dan Singapura. Antaranya ialah Qissah Al Mi’raj, Lunas-lunas Keimanan, At Tibyan dan lain-lain.

Tuan Guru Hasanuddin yang mahir dalam ilmu falaq, telah menghasilkan satu formula dan jadual waktu solat bagi Negeri Pahang yang boleh diguna pakai buat selama-lamanya. Jadual berkenaan pernah penulis temui tertampal pada dinding Masjid Charok Puting, Temerloh ketika dijemput berceramah di situ.

Tuan Guru Mohd Baki menerbitkan sebuah buku amalan harian berjudul, Tanwir al-Qulub. Seorang lagi pimpinan ulamak PAS Pahang yang banyak menulis ialah Ustaz Zakaria Omar. Beliau pernah bertugas di Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan, Sekolah Menengah Agama Al Wosto dan Sekolah Menengah Ugama Chenor.

Antara hasil karyanya ialah, Pedoman Hidup Muslim, Ayat Ahkam STPM, Hadis Ahkam STPM, Tujuh Perkara Yang Membinasakan Umat Islam dan Tujuh Golongan Yang Mendapat Perlindungan Allah Di Akhirat.

Dalam saf kepimpinan semasa pula, terdapat beberapa orang pimpinan yang aktif dalam penulisan termasuklah Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua DUPNP.

Ketua DUPNP, Ustaz Zuridan telah menghasilkan buku berjudul Tazkirah (UMP 2008), Bingkisan Ramadhan (Mustread 2009), Penyucian Jiwa (Mustread 2010), Ringkasan Al Qawaed Al Fiqhiyah dan Ulamak Menggalas Tugas Para Nabi.

Ustaz Zuridan turut menulis teks khutbah dan pelbagai artikel yang disiarkan di akhbar Berita HarianUtusan Malaysia dan Harakah. Timbalan Ketua, Ustaz Nafiri pula menghasilkan buku Penghayatan Sifat 20.

Manakala Naib Ketua, Ustaz Khairul Azmi telah menghasilkan 9 buah buku, antaranya, Terjemahan Dan Ulasan Sahih Al Bukhari (5 bab), Himpunan Fatwa Berkait Puasa, Terjemahan Hadis 40 Galakan Jihad, 40 Hadis Kecemerlangan, Doa Dari Al Quran dan lain-lain. 

Ulamak dan pilihan raya

DUPNP sentiasa seiring dengan agenda arus perdana PAS Pusat khususnya dalam politik dan pilihan raya. Dari segi organisasi, Pengarah Pilihan Raya DUPNP dimasukkan dalam Jawatankuasa Harian Dewan ini. 

Di samping menjadi petugas kempen, DUPNP turut menghantar anggotanya menjadi calon dalam setiap kali PRU. Seawal tahun 1959, Tuan Guru Hasanuddin telan menyertai Pilihan Raya Umum bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanggang sebagai calon PAS. 

Sebelum itu beliau adalah Ketua Ranting (kini: Cawangan) PAS Berhala Gantang (sejak 1954) dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan (kini: Kawasan) Temerloh (sejak 1955).

Tuan Guru Haji Abdullah Muhammad bertanding di DUN Triang (kini DUN Guai) pada pertengahan 60-an dengan menggunakan logo bulan bintang. Pada 1969, DUN yang sama ditandingi oleh seorang tokoh agama dikenali sebagai Mohamad Awang.

Tuan Guru Mohd Baki pernah beberapa kali bertanding di DUN Chenor. Ustaz Alwi Abd Hamid di Parlimen Maran. Ustaz Ramli Mohammad dan Ustaz Abu Kasim di Parlimen Pekan. Umum mengetahui, Pahang bukanlah negeri yang selesa untuk dimenangi oleh calon PAS. 

Kebanyakan PRU dan PRK yang disertai oleh ulamak-ulamak PAS ini tidak memihak kepada mereka. Namun alim ulamak ini tidak serik menyertai pilihan raya. Antara yang kerap menyertai pilihan raya sebagai calon PAS ialah Ustaz Ishak Abdullah, Ketua DUPNP ke-6.

Beliau pernah bertanding di Parlimen Temerloh pada 1978 dan 1982, DUN Bandar Temerloh pada 1982 dan DUN Kuala Semantan pada 1986 dan 1990.

Sebagai calon PAS, Ustaz Ishak mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Beliau adalah seorang ahli bahasa dan mampu menguasai Bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Mandarin dan Urdu. Ustaz Ramli Muhammad pula hampir-hampir menewaskan Dato’ Seri Najib di Parlimen Pekan pada PRU 1999.

Dalam PRU yang sama, dua orang ulamak PAS Ustaz Idris Omar dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi Pilihan Raya Umum bersama 4 calon PAS yang lain. Ustaz Idris menang di DUN Semantan. Manakala Ustaz Tuan Ibrahim (kini Dato’ Sri) menang di DUN Jengka. PRU ke-14 (2018) pula menyaksikan kemenangan PAS di lapan DUN. Enam daripadanya dimenangi oleh calon dari kalangan asatizah

Mereka ialah Ustaz Rosli Abd Jabar (Tanjung Lumpur), Ustaz Zakhwan Badrudin (Tahan), Ustaz Shahril Azman (Jengka), Ustaz Tarmizi Yahaya (Panching), Ustaz Zuridan Mohd Daud (Damak) dan Ustaz Mujibur Rahman Ishak (Chenor). ADUN Chenor dan Damak adalah pimpinan utama dalam Jawatankuasa DUPNP. 

Sememangnya ahli PAS memandang tinggi kepada para alim ulamak. Hinggakan pada suatu ketika, hampir kesemua bakal calon dipilih dari kalangan asatizah. Melihatkan senarai berkenaan, Presiden PAS Dato’ Fadhil Noor menegur, “PAS Pahang ni nak memerintah negeri ka, atau nak bukak madrasah?”

Teguran ini diambil cakna oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Guru Mohd Baki Osman lantas merombak kembali senarai calon berkenaan.

Harapan

Perjalanan sudah terlalu jauh. Waktunya menjangkau 50 tahun kiraan Masihi. Dewan Ulamak sudah sampai usia kematangannya di bumi Pahang. Ia sekarang bukan lagi wujud di peringkat negeri, bahkan Dewan Ulamak PAS sudah mula ditubuhkan di peringkat kawasan-kawasan.

Ketika ditanya, apakah hala tuju dan fokus DUPNP ke hadapan, Ketuanya Ustaz Zuridan menjawab,

“Memperkasakan organisasi, menyemarakkan program ilmu untuk masyarakat, memperkukuhkan tarbiyah dan ilmu ahli, membina hubungan dengan pelbagai agensi agama dan memperkasakan institusi tahfiz dan pondok.”

Beliau turut mengajak para asatizah bersama memberikan kesedaran kepada ummah agar kembali kepada Islam dengan berpaksikan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 18/9/2021

Almarhum Ustaz Kasim Yahya, orang yang bertanggungjawab mendaftarkan DUPNP.
Almarhum Tuan Guru Yaakub Pesagi, antara tokoh Ulamak PAS yang awal.
Almarhum Tuan Guru Abdullah Bukit Keledang, pernah bertanding mewakili PAS di DUN Triang awal 60-an.
Ustaz Ramli Muhammad, Ketua DUPNP ke-6. Hampir menewaskan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen Pekan pada PRU 1999.
Tuan Guru Mohd Baki, Ketua DUPNP ke-7 dan kemudian menjadi Pesuruhjaya PAS Pahang.
YB Ustaz Zuridan, Ketua DUPNK sekarang.
- Advertisement -