Hari Malaysia titik awal kerjasama erat ‘Keluarga Malaysia’

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Malaysia untuk menjadikan Hari Malaysia sebagai titik permulaan bagi kerjasama erat ‘Keluarga Malaysia’.

Menurutnya, walaupun negara masih berdepan dengan kemelut akibat daripada pandemik Covid-19, beliau percaya berbekalkan semangat perpaduan yang jitu dan usaha rakyat, Malaysia akan berjaya keluar dari krisis ini dengan selamat dan teratur.

- Advertisement -

“Pupuk dan semaikan semangat cintakan negara dalam diri setiap daripada kita. Wujudkanlah Malaysia yang prihatin, Malaysia yang cekal, Malaysia yang gagah.

“Saya ingin menyeru semua anak Malaysia untuk terus menggembleng usaha, membulat tekad dan bersatu hati untuk menyumbang sehabis baik agar Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Bekas Perdana Menteri Malaysia itu turut mengajak rakyat Malaysia berikrar akan melakukan yang terbaik untuk negara walau betapa getir cabaran yang ditempuhi ketika ini.

Katanya, jangan sesekali berputus asa kerana usaha bersama setakat ini, mula membuahkan hasil dan menunjukkan kejayaan.

“Marilah bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa hari-hari yang mendatang adalah lebih baik untuk Malaysia yang kita cintai ini, InsyaAllah,” katanya berucap sempena Hari Malaysia 2021. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -