Pemuda PAS Terengganu komited hadapi Undi 18

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Terengganu begitu komited dalam menghadapi Undi 18 yang akan bermula tahun depan.

Ketuanya, Ustaz Mohd Harun Esa berkata pihaknya memberi komitmen akan menggembleng tenaga untuk memberi kefahaman menerusi pendidikan politik sebenar mengikut cara Islam kepada seluruh anak muda.

Ini, ujarnya dalam mempersiapkan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Beliau juga memaklumkan pihaknya telah selesai mengadakan perbincangan tentang hala tuju sepanjang setahun yang akan datang.

Menurutnya, program kali ini banyak membincangkan tentang beberapa fokus utama yang ingin dibawa Pemuda PAS negeri bagi sesi ini.

“Antara fokus utama perbincangan kali ini adalah bagaimana untuk terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) sebagaimana yang dihasratkan oleh Presiden PAS dan rakyat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya menandakan komitmen Pemuda PAS negeri untuk memastikan perpaduan ummah terus berlaku dengan penyertaan kesemua parti Melayu Islam yang dominan dalam negara Malaysia.

Beliau berkata, Pemuda PAS Terengganu akan terus menyeru seluruh parti Melayu Islam dalam negara untuk bersatu dengan ikhlas dan penuh integriti. 

Menurutnya, isu integriti dan kepentingan individu yang berlaku dalam kalangan pemimpin negara menjadi halangan terbesar penyatuan itu dari berlaku dengan sebaiknya.

Justeru, ujar beliau pihaknya terus mendesak pihak berkuasa dan pemimpin tertinggi dalam negara untuk terus bertegas dalam mengambil tindakan.

“Pada kesempatan ini juga Pemuda PAS Terengganu ingin menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri dan barisan Kabinet yang dibentuk beliau untuk terus menerajui kepimpinan negara demi kestabilan dan keamanan negara Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

- Advertisement -