GKP: RM6.08b disalur bantu lebih satu juta PKS mikro

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjiwai kegusaran para peniaga, terutamanya peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang sedang mengharungi tempoh mencabar ketika ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan komited menyokong kelangsungan sektor PKS mikro dengan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 yang akan disalurkan mulai 21 September ini.

- Advertisement -

Beliau percaya inisiatif GKP 4.0 yang bakal memanfaatkan lebih satu juta PKS mikro itu akan dibayar dua kali iaitu pada September 2021 berjumlah RM500 dan November 2021 (RM500), melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak RM6.08 bilion telah dan akan disalurkan menerusi GKP bagi membantu kelangsungan lebih satu juta PKS mikro.

“Semoga dengan pembayaran GKP 4.0 ini dapat menggerakkan dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, malam ini.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, beliau erkata kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri itu kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -