Punca masalah air genangi Jalan Gebeng dikenal pasti

Andansura gerak peranan bersama agensi dan pemegang taruh terbabit selesai isu berlarutan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu turun ke lokasi mengadakan tinjauan sendiri mengenal pasti punca berlakunya keadaan jalan raya digenangi air di Jalan Gebeng, Kuantan, di sini. 

Hasil penemuan beliau mendapati, tapak penyimpanan dan pemprosesan bijih besi yang dijalankan di kawasan yang berhampiran telah dikenal pasti oleh beliau sebagai punca utama kejadian tersebut.

“Aliran air dari operasi mereka turun ke longkang awam di tepi jalan, membawa bersama pasir dan tanah yang menyebabkan longkang ini tidak dapat menampung aliran air setiap hari. 

- Advertisement -

“Struktur saliran air di kawasan ini yang tidak sempurna memburukkan lagi keadaan, apatah lagi setiap kali bila berlakunya hujan lebat. 

“Longkang-longkang ini pula sangat jarang diselenggara atau dibersihkan. Sebesar mana atau sebaik mana pun sistem saliran, jika tidak diselenggara lama kelamaan akan mendatangkan masalah,” ujarnya. 

Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, keadaan ini telah berlarutan agak lama di mana walaupun menghadapi cuaca panas terik berhari-hari, namun air tersebut tidak juga kering. 

Malah beritahu beliau, pihak Roadcare (M) Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Air Pahang (PAIP) terlebih dahulu sudah mengesahkan bahawa tiada kebocoran paip berlaku di kawasan sekitar tersebut. 

Katanya, situasi begini boleh menimbulkan kesulitan serta mendatangkan bahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya dan hal tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib untuk diberi perhatian, namun belum ada tindakan berkesan diambil. 

“Saya lihat di sini ada dua perkara penting yang perlu diambil tindakan dalam isu ini adalah penguatkuasaan dan penyelenggaraan. 

“Oleh itu, saya telah membuat ketetapan untuk membincangkan hal ini dengan pelbagai agensi yang berkaitan, pada minggu hadapan untuk sesi pertama. 

“Selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) antara agensi lain yang dijemput hadir termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). 

“Juga akan dilibatkan, syarikat GAS Malaysia Berhad bagi memastikan keselamatan laluan saluran paip gas yang terdapat di kawasan sekitar,” ujarnya lagi. 

Andansura juga memaklumkan bahawa syarikat operator tapak bijih besi tersebut telah menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab dan memberi sepenuh kerjasama bagi mengatasi perkara ini termasuklah penyediaan jentera-jentera yang diperlukan. 

Beliau menambah, objektif utamanya adalah untuk mendapatkan penyelesaian jangka pendek yang boleh diambil segera bagi menyelesaikan isu keselamatan dan kemudahan orang ramai selain mengatasi masalah pencemaran. 

“Tidak seharusnya keadaan ini dibiarkan begitu lama, sedangkan kita sentiasa berusaha untuk membawa pelabur datang bertapak di sini.

“Jalanraya di sini adalah jalan utama melibatkan kawasan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan, yang merupakan antara sektor penting dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” tambahnya lagi. 

Hadir bersama lawatan kerja di atas adalah pegawai-pegawai dari JAS dan MBK yang telah memberi reaksi segera untuk hadir ke lokasi berkenaan walaupun dalam notis singkat. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -