Imej sederhana Taliban mulai diterima rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika kemaraan semula Taliban di Afghanistan didapati tidak berlaku tentangan secara menyeluruh oleh rakyat negara itu.

Ini kerana mesej-mesej kesederhanaan Taliban sudah sampai kepada rakyat Afghanistan, malah ketika menawan Kabul, terdapat banyak penduduk Kabul yang menyambut kemenangan Taliban.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, imej yang ditonjolkan Taliban ketika ini dilihat amat sederhana oleh banyak pihak di dunia.

- Advertisement -

Katanya situasi itu dapat dilihat ketika sidang media pertamanya dengan memberi pengampunan kepada anggota pentabiran kerajaan Afghanistan, hak kebebasan wanita akan dipelihara dan dibenarkan berkerja.

Selain itu Taliban menjanjikan membantu rakyat dan pekerja kedutaan asing keluar dari Kabul.

khalil
Muhammad Khalil Abdul Hadi

“Pelajar-pelajar perempuan dilihat sudah memulakan sesi persekolahan kembali dan Taliban turut menjemput negara-negara di dunia membantu untuk membangunkan Afghanistan semula.

“Tindak tanduk Taliban itu berjaya memberikan imej positif kepada Taliban. Banyak negara juga mula memandang positif kepada Taliban walau masih terdapat banyak keraguan ke atas Taliban.

“Namun dengan keadaan semasa sekarang di Afghanistan dan Kabul, Taliban dilihat telah mula berjaya mengurangkan persepsi negatif terhadapnya,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Menurutnya juga Taliban mula dipercayai kembali rakyat Afghanistan walaupun masih tidak secara majoriti.

Kata beliau mesej-mesej melalui media sosial, tindakan serta imej sederhana yang ditonjolkan mereka mula diterima oleh rakyat Afghanistan.

Beliau juga berkata, tidak ada anggota kerajaan dibunuh ketika ditawan bandar-bandar di wilayah Afghanistan dan rakyat yang tidak menyokong mereka tidak ditangkap.

“Ini memperlihatkan banyak lagi petunjuk-petunjuk yang positif serta imej sederhana yang ditampilkan mereka membuat ramai rakyat Afghanistan mula kembali menyokong mereka.

“Mungkin terdapat lagi rakyat Afghanistan yang skeptikal dan ragu-ragu kepada Taliban, namun sudah terdapat tanda positif bahawa Taliban mungkin mampu kembali mendapat sokongan majoriti rakyat Afghanistan jika keadaan berterusan seperti ini,” ujarnya.

Muhammad Khalil yang juga Adun Batu Buruk, Terengganu berkata, kemenangan Taliban ke atas Amerika Syarikat membenarkan ungkapan yang menyebut bumi bertuah ini adalah kubur kepada kuasa besar dunia bermula dengan Britain, Soviet Union dan seterusnya Amerika Syarikat.

Mengikut Abdul Bari Atwan, seorang penganalisis politik Timur Tengah, kekalahan Amerika Syarikat di Afghanistan lebih hina dan teruk dari kekalahan di Vietnam.

Kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam adalah kerana campur tangan secara langsung Soviet Union.

Namun kata Muhammad Khalil kekalahan Amerika Syarikat di Afghanistan hanya di tangan sebuah kumpulan kecil yang lemah dari semua aspek lahiriah.

“Tetapi iman yang ada dalam diri mereka yang berjaya mengalahkan kekuatan lahiriah yang dimiliki oleh mana-mana kuasa besar dunia.

“Semoga Taliban dan pihak-pihak yang berkepentingan di Afghanistan sama-sama dapat berganding bahu membangunkan kembali Afghanistan, berdamai, berkerjasama membentuk kerajaan baharu demi kepentingan rakyat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -