Jawatankuasa Khas dicadang nilai semula iktiraf Sijil UEC

KOTA BHARU: PAS tetap konsisten dengan pandangan menolak pengiktirafan terhadap Sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Oleh itu parti terbabit mencadangkan Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan untuk menilai semula dasar pengiktirafan Sijil UEC.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato’ Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, pelaksanaan kurikulum UEC hendaklah disemak dengan diteliti pakar-pakar pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara komprehensif dan menyeluruh.

Katanya, Lajnah Pendidikan PAS Pusat bercadang mengadakan perbincangan segera dengan Menteri Kanan Pendidikan dan KPM untuk menyampaikan cadangan-cadangan berkaitan dan pelaksanaan sistem pendidikan.

Advertisement

“Sistem pendidikan di Malaysia hendaklah berdasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Pembinaan Negara dan Bangsa serta ditadbir dan diurus berpandukan Akta Pendidikan 1996 dan Kurikulum Kebangsaan.

“Sistem pendidikan yang selain sistem pendidikan kebangsaan tidak wajar untuk diiktiraf dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Pengiktirafan Sijil UEC adalah tidak selaras dengan dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar hendaklah dijadikan bahasa penghantar dalam pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau pengiktirafan Sijil UEC tidak adil kepada mereka yang sedang dan telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

Malah katanya, pelaksanaan UEC dibimbangi akan mewujudkan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara dan boleh menghakis identiti kebangsaan di Malaysia.

“UEC hanya diterima segelintir kaum Tionghua sahaja. Ia tidak mewakili keseluruhan kaum Tionghua di sekolah persendirian Cina peringkat menengah kerana kos yang tinggi dan tempatnya terhad,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, pentaksiran bidang Pendidikan Islam di negara ini mengikut dasar dan sistem pendidikan negara dengan menjadikan peperiksaan STAM dan Sekolah Menengah Agama selari dengan sistem pendidikan negara.

Malah sijil tersebut mendapat pengiktirafan lebih luas di peringkat antarabangsa.

Oleh itu beliau berkata, pengambilan pelajar-pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu dinilai semula selepas 10 tahun pelaksanaannya.

“Masyarakat Malaysia secara umumnya berpandangan penerimaan Sijil UEC untuk pengambilan calon-calon guru opsyen Bahasa Cina dalam program PISMP perlu dinilai kembali.

“KPM perlu memperkasakan prasarana di sekolah jenis kebangsaan di Malaysia (SJKC) dan (SJKT) dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan.

“Kerajaan perlu lebih tegas untuk memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pembinaan Negara bangsa yang sedia ada,” katanya.

Beliau juga berkata, PAS merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Kanan Pendidikan Malaysia Dato’ Dr Md Radzi Jidin dan KPM mengumumkan pengambilan Pegawai Pendidikan Gred DG41 seramai 18,702 orang pada 20 Jun lepas.

Katanya, pengambilan calon-calon guru itu bermula pada 7 Julai lepas.

“Semoga pengambilan guru-guru ini akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. Tahniah sekali lagi kepada KPM dan Kerajaan Malaysia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2021