
KUALA LUMPUR: Pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memandang serius kejadian pencemaran sumber air di Ulu Keratong, Rompin yang telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 50,000 penduduk sejak minggu lepas.
Sehubungan itu, Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah turun ke tapak dan mengarahkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri Pahang seperti Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lain-lain.
Katanya, ini untuk memberikan keutamaan kepada memastikan bekalan air dapat dipulihkan dengan segera dan melaksanakan tindakan mitigasi supaya kejadian yang sama tidak berulang.
Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memasang silt-curtain untuk mengurangkan bahan cemar yang berbentuk pepejal daripada menghampiri kawasan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) sebagai penyelesaian jangka pendek.
Menurutnya, PAIP juga telah menjalankan bacaan kualiti air mentah (parameter asas iaitu bau, pH, kekeruhan dan ammonia) pada 14 Julai lalu dan didapati bacaan kualiti air mentah di Sungai Keratong berada pada tahap selamat (boleh dirawat) setelah lima kali bacaan.
“Proses mengepam, mencuci dan merawat telah dimulakan sejak lewat malam semalam dan pemulihan bekalan secara berperingkat di mana kawasan sekitar loji bakal mula menerima bekalan pada lewat hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, sebahagian besar kawasan terjejas akan kembali menerima bekalan secara berperingkat dalam tempoh 48 jam dari waktu bekalan mula disalurkan, lebih awal berbanding jangkaan awal pada Ahad ini.
Sementara itu, jelas beliau Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang telah mengambil tindakan segera terhadap kilang kelapa sawit (KKS) yang terlibat.
Tambahnya, lima tindakan yang dilaksanakan iaitu menghentikan operasi kilang dan menggantung lesen pemprosesan buah kelapa sawit bermula 7 Julai 2021 sehingga semua kerja-kerja membaiki benteng kolam rawatan efluan siap sepenuhnya;
Di samping itu, jelasnya mengarahkan supaya KKS yang terlibat menjalankan kerja-kerja membaiki benteng kolam yang bocor dengan kadar segera dan melaporkan kerja-kerja pembaikian kolam setiap hari tanpa gagal.
Selain itu, ujarnya mengarahkan supaya menyediakan pelan tindakan kecemasan (ERP) bagi menangani kejadian luar jangkaan terutama yang melibatkan insiden pelepasan pencemaran yang serius termasuk pembersihan.
Beliau berkata, antara tindakan diambil juga ialah menjalankan audit secara berkala oleh pihak ketiga terhadap lokasi dan prestasi/efisensi sistem pengolahan efluen, keberkesanan sistem aliran dan kaedah pelupusan serta pihak KKS akan menanggung semua kos kerosakan, pembaikan dan pembersihan selaras dengan konsep atau pendekatan polluter pays principle.
“Sebagai tindakan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, JAS telah menambah baik prosedur pengurusan efluen KKS di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, garis panduan adalah untuk memastikan efluen KKS yang lebih terkawal, efisien, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak JAS, SPAN, JPS dan juga operator-operator bekalan air yang turun membantu membekalkan keperluan bekalan air bersih kepada pengguna terjejas,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa bersama memastikan kelestarian alam sekitar segera menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian pencemaran. – HARAKAHDAILY 15/7/2021











