RM500 kepada pekerja hilang pendapatan berdasarkan data KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tahun ini.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bantuan Kehilangan Pekerjaan itu akan dikreditkan ke akaun pekerja pada Oktober ini.

Menurutnya, bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta.

Kata Muhyiddin, kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum KWSP terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja swasta tidak formal.

“Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

“Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan,” katanya

Katanya, pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari kerja dalam ekonomi gig. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -