Tindakan tegas menghina agama, promosi LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

- Advertisement -

Beliau berkata, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Tambahnya, tujuan mesyuarat khas pada hari ini ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, di media sosial tertentu misalnya, tiada tapisan langsung terhadap kandungan video-video yang berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan.

Katanya lagi, pengantunan seksual ataupun sexual grooming terhadap kanak-kanak di bawah umur yang didakwa telah dilakukan oleh seorang transgender di media sosialnya, yang mungkin boleh menjurus kepada perlakuan pedofilia, tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT.

Beliau menambah, ia menunjukkan betapa mereka bersikap double standard kerana hanya memperjuangkan isu secara terpilih yang menguntungkan pihak mereka.

Justeru, jelasnya mesyuarat telah bersetuju untuk melaksanakan tindakan yang tegas secara bersepadu dalam kadar segera bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial, bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah itu.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut, antara lain, adalah seperti yang berikut:

(a) mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu;

(b) mencadangkan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi;

(c) menghasilkan satu standard operating procedure (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -