
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Polemik pembentukan jajaran baharu antara Umno dan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PK) dan DAP dianggap Umno Perlis tidak akan berlaku.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Dato’ Seri Azlan Man menegaskan tiada jajaran baharu bersama Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya pendirian Umno masih sama seperti yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu.
“Tidak ada jajaran baru, Umno sangat jelas mengenai keputusan tertinggi parti yang menyatakan keputusan ‘No Bersatu, No Anwar, No DAP’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Itu (Jajaran baharu) hanyalah kerja orang yang cuba untuk melemah dan memecahbelahkan parti. Kita percaya ia usaha yang dilakukan musuh untuk menumbangkan kita,” katanya yang juga Menteri Besar Perlis pada sidang media di Kompleks Dun hari ini.
Sebelum ini acap kali muncul khabar angin akan berlaku jajaran baru atau khemah besar yang digerakkan PKR dan DAP bagi memancing parti Melayu termasuk Umno.
Azlan yang juga Menteri Besar Perlis berkata, dalam kalangan ahli Umno sendiri tidak pernah membincangkan isu tersebut, malah perkara itu tiada yang tahu menahu.
“Jangan percaya akan usaha terbabit kerana ia memang dilakukan oleh musuh parti untuk memecahbelahkan kesepaduan yang kita bina,” ujarnya.
Manakala dalam perkembangan lain beliau menggalakkan rakyat Perlis menyertai program vaksinasi bagi mendapatkan vaksin Covid-19 supaya dapat mencapai tahap imuniti kelompok.
Katanya, proses vaksinasi sekarang lebih intensif dan ramai orang memberi respons yang positif kepada usaha tersebut.
“Dengan bilangan yang semakin ramai untuk menerima vaksin, tidak mustahil kita boleh mencapai imuniti kelompok pada September depan.
“Walau bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada stok vaksin dan ia bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2021











