Bagaimana, berapa sepatutnya ambil vitamin C?

- Advertisement -

APA isu sebenar vitamin C ini? Adakah doktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri tak ikut apa yang dicatat dalam garis panduan makanan yang disediakan oleh unit pemakanan berkaitan dengan vitamin C? Boleh lihat dalam garis panduan itu, dos vitamin C untuk dewasa umur 19 tahun ke atas diletakkan 2,000 mg sehari. Kenapa doktor kat klinik KKM hanya berikan 50 – 150 mg sahaja?

Vitamin C ini adalah isu yang paling hangat dibincangkan. Ada yang terlalu fanatik menggunakan vitamin C sehingga menjadi jurujual vitamin pun ada. Bagi melariskan jualan, pelbagai kaedah digunakan termasuklah memberikan maklumat yang tidak difahami sepenuhnya oleh orang awam. Apabila masyarakat dihidangkan dengan maklumat teknikal perubatan, kemudian diulas oleh jurujual mengikut kefahaman salah mereka, maka di sinilah timbulnya salah faham. 

- Advertisement -

Contohnya, dalam buku Garis Panduan Pengambilan Nutrien yang dikeluarkan oleh KKM tahun 2005 meletakkan cadangan pengambilan harian yang dibenarkan (Recommended Dietary Allowance) dan tahap toksik (Tolerable Upper Limit). Bagi masyarakat awam yang kurang memahami bahasa perubatan, akan mudah terkeliru. 

Minta baca elok-elok garis panduan itu satu persatu, baris demi baris. Apa yang disebut? Saya bagi ringkasan berkaitan dengan orang.

1. Vitamin C itu adalah suplemen yang diberi oleh doktor adalah berdasarkan kepada indikasi khas tertentu sahaja seperti ibu mengandung dan pesakit-pesakit tertentu. Indikasi pemberian ini perlu dinilai oleh doktor bukan penjual produk. Vitamin C boleh dijual di kedai atau farmasi sebagai ubat OTC (Over the Counter), tetapi masih perlu mendapat khidmat nasihat ahli farmasi atau doktor. Situasi apa yang boleh ambil? Berapa banyak dos yang dibenarkan?

2. Rakyat Malaysia secara umum tak perlu pun suplemen vitamin C kerana pemakanan sedia ada sudah mencukupi bekalan vitamin C seharian. Jika jurujual produk membuat alasan kita perlu ambil vitamin C sebab kita tak cukup vitamin seharian dan suruh beli suplemen, beritahu dia belilah buah-buahan. Lebih jimat dan lebih natural. Malah pemakanan kita sudah pun cukup keperluan vitamin C seharian. Dari beli harga pil atau jus suplemen lebih mahal, baik beli buah oren. Dalam buku garis panduan itu lengkap di masukkan jenis-jenis buah dan sayuran dengan jumlah dos vitamin C yang tertentu.

3. Had Pengambilan Seharian (RDA) yang dibenarkan adalah 90 mg sehari bagi lelaki dan 75 mg sehari bagi wanita yang berumur 19 tahun ke atas. Bagi ibu hamil dan menyusu pula disyorkan naik lagi kepada 85 mg dan 120 mg sehari masing-masing. Tahap maksima penyerapan vitamin C sehari di dalam perut adalah sekitar 200 mg sehingga 500 mg sahaja. Pengambilan lebih daripada itu hanya akan dikumuhkan melalui najis sahaja.

Bagi ibu hamil dan menyusu, vitamin C berguna juga untuk membantu penyerapan zat besi dalam perut. Di mana zat besi ini penting untuk pembentukan sel darah merah yang akan meningkatkan hemoglobin darah.

4. Tahap tertinggi (Tolerable Upper Intake Level) pengambilan vitamin C bagi dewasa adalah 2,000 mg sehari. Jika mengambil melebihi dari tahap ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut dan cirit-birit. Buku garis panduan itu meletakkan nilai 2,000 mg itu adalah had maksima yang mampu ditanggung (tolerable) oleh perut kita, selebihnya akan menyebabkan toksik. Apa yang ditulis dalam buku garis panduan tersebut bukan menyuruh kita mengambil 2,000 mg, jangan salah faham.

5. Kajian mendapati jika mengambil dos melebihi 3,000 mg sehari boleh menyebabkan batu karang, meningkatkan asid urik terutama bagi pesakit Gout, menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam badan.

Nasihat saya supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan mainan fakta yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan istilah perubatan yang sukar difahami oleh kita cuba diolah oleh mereka demi mengaut keuntungan. Berpada-padalah dan bersederhanalah dalam mengambil sesuatu.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 15/6/2021

Rujukan:
[1] MOH. Recommended Nutrients Intake for Malaysian 2005.
[2] Harvard T. H. Chan. Vitamin C. Harvard Medical School. March 2020.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -