Pengalaman Malaysia jadi rujukan Afrika Barat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dijadualkan untuk menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Perasmian 6th International Islamic Finance Forum (IIFF).

Ucapan secara maya forum bertema “West Africa – Malaysia: Building The Islamic Economy” akan berlangsung bermula 7 – 8 Jun ini di King Fahd Palace, Dakar, Senegal.

Forum berprestij anjuran The African Institute of Islamic Finance (AIIF) dengan sokongan Kerajaan Senegal dan Islamic Development Bank (ISDB) ini, turut melibatkan kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan besar Malaysia di Dakar, Senegal.

- Advertisement -

Dengan usahasama ISDB Center of Excellence of Kuala Lumpur Malaysia and Islamic Research and Training Institute (IRTI), fokus forum pada tahun ini adalah penglibatan Afrika Barat – Malaysia dalam beberapa bidang.

Iaitu Kewangan Islam, Waqaf, Haji, Industri Halal dan produk serta perkhidmatan Kewangan Islam di mana IFF pada kali ini bakal menyediakan platform bagi negara-negara Afrika Barat untuk meneliti pengalaman Malaysia.

Terutama dalam Kewangan Islam seterusnya menghubungkan jaringan kepakaran dalam memartabatkan Kewangan Islam dalam ekonomi global.

Menteri dalam ucapan aluannya akan mengangkat beberapa noktah penting pengalaman Kerajaan Persekutuan melalui lima fokus utama iaitu Industri Halal (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Pengurusan Haji (Tabung Haji).

Juga Institusi Zakat (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Ar-Rahnu (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) dan Pengurusan Waqaf (Yayasan Waqaf Malaysia).

Dengan penyertaan lebih 500 orang peserta dalam forum dwi-tahunan ini, IIFF dilihat sebagai salah satu medium yang terbaik bagi pakar Kewangan Islam, penyelidik dan pemain industri bagi bertukar buah fikiran.

Juga dalam meluaskan jaringan kerjasama antara negara khususnya negara-negara Afrika Barat dan Malaysia bagi mengukuhkan peranan Kewangan Islam dalam mendepani ekonomi global. – HARAKAHDAILY 7/6/2021