Penghinaan terhadap Islam mesti dihentikan

Nasrudin Hassan
- Advertisement -

SAAT umat Islam mendekam rasa bagi menghadapi hari-hari sukar negara dengan pengisytiharan total lockdown, kita digamatkan dengan isu persendaan terhadap amalan solat dan baca Yasin dalam Islam serta ajaran sesat yang meletakkan Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Fenomena ini sangat menyedihkan, sekali gus menjadi tambahan satu lagi tugas dan usaha dakwah yang perlu dilakukan oleh kita semua umat Islam.

- Advertisement -

Selain daripada tindakan pihak berkuasa agama bagi memelihara kesucian Islam di negara ini, saya menyeru umat Islam amnya dan para alim ulamak khasnya agar melipatganda usaha dakwah untuk mengajak umat manusia kembali kepada agama Allah SWT.

Kejahilan mesti dibasmi. Rancangan dan channel (di semua saluran media seperti elektronik, cetak mahupun Internet) untuk membimbing serta membentuk pemikiran dan kefahaman Islam yang benar perlu dilakukan dengan lebih serius.

Konsep al amru bil makruf (melaksanakan tindakan sebagaimana aturan Syariah) dan an nahyu ‘anil munkar (mencegah perkara yang bertentangan dengan syariah) perlu diaplikasikan dalam setiap sendi dan agensi kerajaan bahkan juga rakyat bagi melahirkan sebuah negara Baldatun Toyyibah Wa Rabbun Ghafur.

Perlakuan menghina dan mempersenda amalan-amalan Islam adalah tidak selayaknya keluar dari mulut seorang yang mengaku sebagai muslim atau muslimah. Bahkan turut bercanggah dengan undang-undang negara.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersedia selapang dada untuk berdiskusi dengan mereka bagi meluruskan kefahaman mengenai Islam agama suci yang kita anut bahkan ia juga adalah agama negara yang kita huni sekarang.

Perlecehan terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh seorang pengusaha kosmetik Ekora baru-baru ini tidak boleh dibiar berlarutan dan ada penirunya sehingga menjadi contoh pada pihak lain bahkan selayaknya diambil tindakan menerusi undang-undang agar Islam tidak lagi berani dipersenda oleh sesiapa.

Begitu juga ajaran sesat yang dibawa oleh seorang pengusaha produk Si Hulk yang mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Sebahagiannya menjadikan penghinaan terhadap Islam adalah untuk menarik perhatian, menaikkan rating berita serta melariskan produk mereka.

Tindakan demikian sangat tidak bermoral dan bermaruah. Malah selayaknya umat Islam memulaukan mana-mana produk yang dipromosikan melalui cara menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ingatlah firman Allah SWT:

‎وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya (di akhirat kelak) ia tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah lakukan. Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat selain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka lakukan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab apa yang telah mereka kufurkan. (Surah Al An’am: 70)

NASRUDIN HASSAN
Yang Dipertua YADIM
19 Syawal 1442 | 31 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -