Hina Agong: Pembangkang mahu politik apa?

Senator Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan budaya politik yang ingin dibawa pembangkang melihat kepada kelancangan Iswardy Morni menghina Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Iswardy yang merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu sudah beberapa kali cuba membawa isu-isu kontroversi dengan bahasa dan budaya yang tidak sopan.

“Sudah ada banyak isu-isu yang agak kontroversi yang dia sebut. Tetapi sekali ini memang dia agak melampau. Terutamanya apabila dia menyetuh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, cara dia bercakap itu seolah-olah sudah hilang adab (dalam) politik.

- Advertisement -

“Kepada mereka yang menyokong Iswardy, adakah ini politik baharu yang mereka hendak bawa?

“Adakah ini budaya yang sesuai dengan budaya Melayu, lebih-lebih lagi budaya Islam, bentuk yang macam ini hendak dibawa?

“Sedangkan mereka mempunyai saluran untuk mengeluarkan pandangan-pandangan mereka yang boleh kita keluarkan.

“Soalan saya, apakah ini budaya yang hendak dibawa di Malaysia? Yang hendak dilatih kepada anak-anak kita, cucu-cucu kita?” soalnya bertalu-talu.

Tambah Ustaz Idris, budaya sedemikian perlu ditolak yang mana menurutnya bakal merosakkan generasi akan datang berdasarkan sikap yang dibina oleh ahli-ahli politik hari ini, terutamanya bakal pemimpin negara.

Sebelum ini, Iswardy melalui saluran YouTube miliknya didakwa menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan menghina Agong.

Iswardy dalam siaran langsung itu cuba memberikan gambaran bahawa Agong tidak cakna, tidak peka dan tidak bersuara dengan apa yang menimpa rakyat.

Bahkan Iswardy cuba menanamkan kepada pendengarnya bahawa kerajaan tidak mempunyai kemampuan untuk menangani Covid-19 dan total lockdown yang diumumkan bertujuan politik dan bukan untuk menangani Covid-19. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -