Masih ramai rakyat tidak faham tugas Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mempertikaikan kabinet Kerajaan yang dibina ketika darurat termasuk dalam kesalahan menghina Yang di Pertuan Agong, kata Penganalisis Politik, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi.

Menurutnya, mempersoalkan sebarang tindakan yang diluar tumpuan darurat ketika ini, iaitu membendung penularan Covid-19 adalah satu tindakan tidak wajar oleh mana-mana pihak sekalipun.

Hal ini kerana, tindakan itu tidak selari dan seiring dengan tujuan asal mengapa Malaysia kini di bawah perintah darurat, ujarnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi, hari ini

- Advertisement -

Jelasnya, perkara yang cuba dibangkitkan oleh segelintir pihak untuk mengadakan sidang Parlimen adalah satu tindakan naif dalam bidang politik ketika ini.

“Ada pihak cuba membawa isu supaya Parlimen dibuka dan dibawa oleh Iswardy Morni, perkara sama juga sebenarnya dibangkitkan oleh pihak yang kurang suka dengan Kerajaan darurat ini, sebab Parlimen tidak bersidang.

“Tetapi dalam masa sama, pernah satu kenyataan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa baginda membenarkan Parlimen bersidang sepanjang tempoh darurat.

“Cuma yang menjadi pertikaian sekarang ini, serta yang disuarakan oleh mereka ialah kenapa tidak isytiharkan Parlimen untuk bersidang.

“Bagi saya, ini sangat menduka citakan sebab masih ada rakyat Malaysia yang masih lagi kurang faham tentang kedudukan semasa negara kita yang berhadapan dengan isu ini,” ujarnya.

Tambah Dr Mohd Syakir, beliau kecewa masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami tugas Agong sebagai Ketua Negara.

Apatah lagi ketika negara berdepan dengan situasi genting hari ini sehingga ramai yang berani menghina dan mempertikaikan tugas baginda.

Malah, beliau yakin Agong sentiasa memberikan tanggungjawab yang terbaik melihat kepada situasi semasa ini dengan mendapatkan perkembangan rakyat dan situasi negara terkini melalui kementerian-kementerian dan kerajaannya, ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk megulas berhubung tindakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang secara terbuka dan jelas mempertikaikan usaha dan menghina Agong melalui saluran YouTube miliknya.

Berbalik kepada isu Parlimen kata Dr Mohd Syakir, adalah lebih baik sidang Parlimen ditangguhkan melihat kepada situasi semasa negara hari ini.

Katanya, ini kerana beliau berpendapat bahawa sekiranya Parlimen kembali bersidang sepanjang tempoh negara berdepan penularan Covid-19, ia akan mencetuskan kekecohan yang lebih gawat.

“Kalaulah kita terbuka untuk membincangkan isu-isu ini di Parlimen, saya rasa keadaan itu bertambah meruncing sebab semua orang ada pandangan dia sendiri. Masing-masing cuba untuk membawa atau mengusulkan pandangan dia.

“Kalau pandangan dia ditolak dalam Parlimen, yakni timbul isu lain pula yang mengatakan pandangan dia tidak diterima sekian-sekian yang menyebabkan keadaan untuk menguruskan Covid-19 bertambah berat.

“Apabila Parlimen dibuka untuk mengusulkan sesuatu usul, kemudian yang pasti kerjaan menang. Jadi, pembangkang akan timbulkan isu yang mereka punya usul lebih baik dari kerjajaan dan sebagainya, sama juga.

“Sekarang ini, lebih baik berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dalam darurat yang kini dilaksanakan. Lebih bagus dalam percaturan dan juga pengurusan terhadap bencana Covid-19 ini.

“Saya rasa penghinaan yang dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong sangat tidak wajar dan tidak patut dan tindakan yang diambil (menahan Iswardy) itu adalah tindakan yang wajar.

“Kerana ia memberi pengajaran keapda rakyat Malaysia yang lain untuk tidak sewenang-wenangnya berkata tanpa memberikan solusi terbaik

“Kita berpolitik juga, tapi berpolitik yang mulia, bukan politik yang memusuhkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -