Perhatian! Maklumat ‘scam’ LHDN untuk pedoman

- Advertisement -

SAYA terima panggilan ini. Kononnya saya ada tunggakan cukai LHDN 15 bulan. Saya kata tiada tunggakan. Pemanggil katakan saya ada tunggakan cukai untuk perniagaan di Alor Setar atas nama NewWorth Enterprise. 

Saya minta nombor pendaftaran syarikat. Saya tiada perniagaan itu. Pemanggil kata, mungkin identiti saya diguna oleh pihak ketiga untuk buat perniagaan.

Pemanggil kata saya kena selesaikan bayaran sebelum pukul 1 petang, sekiranya gagal, perintah mahkamah akan dikeluarkan.

- Advertisement -

Saya tanya – LHDN akan mohon perintah mahkamah hari ini dan dapat pukul 1 petang? Pemanggil jawab ya. Saya cakap – sudahlah tak payah nak scam-scam orang. Pemanggil letak telefon. 

Nota: 

Tiada mahkamah di Malaysia akan keluarkan perintah hari yang sama ia dimohon. Dokumen perlu diteliti oleh mahkamah sebelum keluarkan perintah. Mahkamah bukan robot. Permohonan segera untuk Perintah Injuksi Ex-Parte pun perlukan 2-3 hari bekerja sekurang-kurangnya.

Jangan tertipu

Oh, panggilan tersebut dari nombor selular, dan yang bercakap mulanya adalah komputer. Kemudian komputer beri pilihan untuk cakap dengan operator, tekan 9. Saya tekan 9, dan terus pemanggil scam menjawab. Gigih. 

Yang membingungkan

Pemanggil menyebut nama saya dengan tepat, dan negeri asal saya dengan tepat. Kebocoran maklumat peribadi! Atau mungkin mereka masukkan nombor kad pengenalan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya. Nama dan kawasan mengundi anda akan keluar di sana. Kesilapan saya ialah mengesahkan nombor kad pengenalan saya. 

Kemaskini

LHDN telah keluarkan amaran scam dalam laman sesawangnya. Lihat gambar untuk perincian. 

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 19/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -