Undi 18: SPR masih teliti, jangka dilaksana Julai ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan dasar kelayakan mengundi bermula umur 18 tahun dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) DatO’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, warganegara berusia 18 tahun mempunyai hak untuk mengundi dan menentukan kepimpinan negara.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum ia dimuktamadkan.

“Insya Allah kita jangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini. Bagaimanapun, pelaksanaannya ada beberapa perkara-perkara yang perlu diambil kira termasuk dari segi undang-undang,” ujarnya.

Tambahnya, apabila terdapat perubahan dari segi polisi misalnya dari umur 21 kepada 18 tahun, perundangan tertentu juga perlu dipinda serta ditambah baik.

“Di bawah pilihan raya ada banyak undang-undang, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Pilihan Raya dan peraturan-peraturan mengenai perjalanan pilihan raya.

“Dalam hal ini, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan mengenai isu perundangan,” ujarnya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadiri Majlis Penyampaian Cenderahati Aidilfitri kepada Imam-Iman Masjid Jumaat, halaqat, penghulu bagi Parlimen Kota Bharu di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Tambah beliau lagi, isu teknikal seperti perisian tambahan juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutama SPR apabila undi dibuka kepada individu berusia 18 tahun.

“Saya beri jaminan undi 18 tahun ini akan dilaksanakan secepat mungkin dengan mempercepatkan proses.

“Sekali gus membolehkan mereka mengundi sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN),” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pada masa sama, dalam negara ada undang-undang yang mengatakan umur kematangan adalah 18 tahun.

“Oleh sebab itu semasa anggota kerajaan sekarang yang dulunya menjadi pembangkang termasuk kami, menyokong Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Perkara 119 untuk menurunkan umur minima mengundi daripada 21 kepada 18 tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

- Advertisement -