Doa untuk Nur Hana Muhammad Sanusi

Anak ke-4 Menteri Besar Kedah jalani pembedahan jantung di Hospital Besar Pulau Pinang tengah hari esok

Nur

ANAKANDA saya yang ke-4, Nur Hana akan menjalani pembedahan jantung – Ventricular Septal Defect (open- heart surgery) esok setelah usaha menggunakan AMPLATZER device tujuh tahun lalu tidak berjaya. Alhamdulillah petang ini diberi kesempatan mengunjungi Hana di wad persediaan.

Nur Hana kini sudah berusia 13 tahun, jantungnya dikesan mengalami ASD dan VSD ketika berusia 4 bulan, sekarang tinggal VSD saja. Hana anak manja, menjadi ‘anak bongsu’ selama 7 tahun sebelum kehadiran Sofea Humaira merampas kedudukan itu. Sebagai bapa yang sering tiada di rumah, kasih sayang kepada anak-anak sentiasa dibawa bersama, jarang terungkap malah tidak kelihatan ketika bersama mereka. 

Advertisement

Pada kebanyakan waktu ia tersimpan begitu saja berbelas-belas tahun. Tanpa sedar, waktu berlalu, anak-anak sudah besar panjang. Peluk cium seperti ketika mereka kanak-kanak sudah menjadi janggal. Renungan bebola mata sajalah pembawa limpahan kasih sayang kepada mereka.

Pada situasi seperti hari ini, terasa ada hutang besar kepada Nur Hana dan anak-anak semua. Tentu pada Nur Hana lah yang perlu dibayar segera. Semakin direnung semakin membesar pula hutang kepadanya.

Justeru tidak ada apa yang saya dapat lakukan selain daripada berdoa dan berserah kepada Allah S.W.T, saya memohon sahabat dan kenalan turut mendoakan keselamatan dan kejayaan dalam prosedur pembedahan esok sekitar jam 12 tengahari. Doa kalian adalah peneman terbaik buat Hana di katil hospital. Terima kasih atas doa semua. Semoga sembuhlah Nur Hana ku sayang!

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 19/4/2021