PAS tidak terkejut resolusi PAU – Ir Ts Khairil Nizam

Antara MN-PN sentiasa ada perbincangan termasuk strategi yang dimuktamadkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak terkejut dengan resolusi Perhimpunan Agung Umno kerana perkara berbangkit itu sentiasa menjadi perbincangan mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang diadakan setiap dua minggu.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS dan Umno berbincang pelbagai strategi dalam mesyuarat itu dan muktamadnya tidak akan bertembung di dalam PRU15.

“Jadi apabila resolusi itu pun sebenarnya telah pun dibincangkan lebih awal, Cuma disahkan oleh perwakilan dalam PAU. Dan kami tidak terkejut. Dan kita pun tahu BN adalah perikatan politik ataupun pertubuhan politik. 

- Advertisement -

“Maka, pastinya Umno akan menggunakan BN sebagai vehicle kepada mereka untuk bergerak di dalam PRU. Itu memang dalam skrip politiknya. MN tidak boleh menjadi vehicle sebab MN tidak berdaftar sebagai pertubuhan politik. 

“Jadi, bagaimana untuk kita menstabilkan antara coallition PN (Perikatan Nasional) yang juga merupakan pertubuhan politik dan juga BN itu merupakan satu cabaran. Jadi, hakikatnya perkara itu telah pun diketahui, tidak terkejut. 

“Dan alhamdulillah, kita ada step ataupun strategi untuk menanganinya,” ujarnya dalam Agenda AWANI membicarakan topik PRU15: Siapa Kawan, Siapa Lawan secara langsung di Studio Astro, kelmarin.

Tegasnya, PAS komited dengan pendirian memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN sebagaimana ditunjukkan dari kehadiran pemimpin utama PAS ke PAU dan kenyataan bersama Setiausaha Agung PAS dan BERSATU.

Jelas Khairil, pendirian tersebut jelas neutral yang antaranya bermaksud tiada penjajaran baharu selepas PRU15 dan kekal seperti sekarang iaitu pergerakan politik tanpa DAP sama sekali.

“Jadi, apa yang berlaku pada PAU bukan satu benda yang baru. Lainlah kalau satu perkara yang baru, tiba-tiba diberikan satu ultimate term, semuanya besoknya kena keluar daripada Kerajaan PN, itu satu benda yang baru. Tapi ini satu perkara yang biasa yang sama yang kita bincangkan sebelum ini.

“Jadi, apa yang dinyatakan oleh kedua-dua Setiausaha Agung sama ada daripada PAS ataupun BERSATU, adalah sebenarnya penegasan daripada apa yang telah pun kita setuju sebelum ini. Yang PAS akan tetap bersama dengan PN dan akan mencari jalan yang sesuai bagaimana untuk kita menyatukan ummah melalui coallition MN dan juga PN. 

“Jadi apa yang ada di MN sebenarnya ada pada PN. Dan sekarang ini oleh kerana PAS bersama dengan PN, PAS juga perlu membincangkan bagaimana strategi untuk bersama dengan PN dan membawa suara tersebut dalam perbincangan dengan MN.

“Sebab kita ingat kita kena ingat, Umno juga adalah wakil BN di dalam mesyuarat. So dia ada empat parti komponen termasuk Umno. Jadi Umno juga membawa suara mereka, kami membawa suara mereka. 

“Jadi di situlah ada titik pertemuan untuk kita bincangkan dengan baik bagaimana untuk menyelesaikan kemelut-kemelut yang sedia ada,” terangnya mengenai kedua-dua entiti wujudnya jawatankuasa teknikal bersama. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -