Wakil Pemuda Umno bercakap tidak benar dalam PAU

- Advertisement -

PERWAKILAN Pemuda Umno bercakap tidak benar bila memperihalkan suasana di pejabat Menteri Besar Kedah dalam ucapan beliau di PAU. Beliau telah membina persepsi bahawa Pegawai Khas MB Kedah daripada Umno ‘kena buli’, dikutuk, dipertikai oleh Pegawai-pegawai Khas lain di Pejabat MB Kedah akibat langkah-langkah politik yang diambil oleh Umno, khususnya tentang i-Sinar dan KWSP.

Selama saya ada di sini, tidak ada sesiapa pun pernah bersembang mengenai politik kepartian di pejabat. Saya tidak pernah mendengar mengenainya. Tidak pernah sesiapapun mengutuk Umno, PAS, BERSATU atau mempertikai langkah-langkah politik Umno di pejabat MB. Nama-nama pemimpin politik pun tidak pernah disebut atau diulang sebut dalam urusan kerja di Pejabat MB. 

- Advertisement -

Kita telah membina suasana kekeluargaan di pejabat yang ada wakil-wakil parti dalam Kerajaan PN sebagai Pegawai Khas MB. Kita tidak membina kem parti politik di sini, kita bekerja sebagai kerajaan untuk seluruh rakyat Kedah. 

Walaupun Pegawai Khas daripada PAS lebih ramai daripada Umno dan BERSATU, Pegawai Khas daripada Umno dan BERSATU dilayan secara profesional. Hubungan sewaktu kerja dalam satu pasukan seperti adik beradik, tidak ada kurang tidak ada lebih. Bezanya dia dengan yang lain. Dia jarang ada di pejabat kerana melakukan tugasan di luar. 

Inilah dipertegaskan bahawa di pejabat MB Kedah tidaklah seperti digambarkan dalam ucapan beliau itu dalam konteks hubungan antara kakitangan dan pegawai yang berlainan parti politik.

https://www.youtube.com/watch?v=VMK8pPKEHXY

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah
29 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -