KWSP: Muslim disaran manfaat akaun patuh syariah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran mendaftar akaun simpanan patuh syariah yang disediakan pihak berkenaan bagi ahli beragama Islam.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, melalui maklumat dikeluarkan KWSP hanya 1.12 juta daripada 14.89 juta pencarum yang bertindak demikian.

Katanya, ia bermakna peratusan pencarum beragama Islam yang belum bertukar ke simpanan patuh syariah masih sedikit berbanding pencarum simpanan konvensional.

“Sedangkan sistem simpanan itu dilancar pada 2016. Saranan tersebut bersesuaian Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar halal haram) yang tidak diketahui oleh ramai orang.

- Advertisement -

“Maka sesiapa yang takut terhadap syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhah maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan,” katanya di sini.

Oleh itu katanya PAS Kedah memandang serius mengenainya dan berharap pencarum dalam kalangan beragama Islam mengambil perhatian serius.

Baru-baru ini Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyarankan pencarum Muslim KWSP yang menerima dividen menyucikan dividen yang diterima berdasar peratusan ditetapkan.

“Selaku seorang Muslim wajib kita memilih dan menukar akaun sedia ada kepada simpanan patuh syariah demi menjamin rezeki yang diperolehi bersih, suci dan mematuhi syariat Islam,” ujarnya.

Menurut perangkaan demografi suku tahun keempat 2020 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia mendapati bilangan ahli KWSP yang mewakili 45 peratus penduduk Malaysia mempunyai nilai aset pelaburan mencecah RM1.02 trilion. – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -