Penduduk Bukit Malut dipindah ke lokasi lain

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersetuju dua lokasi yang dikenal pasti pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk dijadikan penempatan baharu penduduk Bukit Malut, Langkawi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk Melayu Islam Kedah (MIK) di lokasi itu perlu dipindahkan segera berikutan kawasan berhampirannya akan dibangunkan projek litar lumba antarabangsa dalam tempoh terdekat.

Katanya, sama ada penduduk berkenaan bersetuju atau tidak mereka tetap akan dipindahkan.

“Mahu tak mau mereka kena pindah. Tetapi rumah itu mereka kena beli macam orang lain juga,” katanya pada sidang media di Wisma Darulaman hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga penduduk MIK Bukit Malut mempunyai kad pengenalan dan rekodnya disimpan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kata beliau kerajaan negeri tidak ada rekod sebaliknya bersedia bekerjasama berkaitan isu tersebut.

Oleh itu Menteri Besar berkata, pembinaan litar tersebut wajar disegerakan supaya kawasan itu tidak menjadi sasaran pembinaan rumah oleh penduduk terbabit.

“Apabila tanah dibiarkan tanpa dibangunkan boleh memberi ruang penduduk berkenaan membina penempatan untuk menampung keperluan mereka yang semakin bertambah sekarang.

“Projek litar lumba terletak di sebelah kawasan penempatan mereka. Kita bimbang sekiranya projek tersebut tidak mengambil tempat, penempatan mereka akan melarat pula.

“Bila ada projek, mereka kena setujulah agar segera dipindahkan,” ujar beliau.

Bagaimanapun kelmarin ini Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata, kawasan penempatan haram warganegara Myanmar di Bukit Malut bakal berubah wajah menjadi perkampungan baharu tersusun dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Menurutnya tanah di kawasan itu akan disusun semula dengan menyediakan lot-lot baharu sebelum dijual kepada penduduk terlibat. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -