
ALOR SETAR: Industri pelancongan di Langkawi dijangka terus melonjak apabila litar lumba bertaraf antarabangsa dibina di Bukit Malut siap sepenuhnya.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, litar yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi itu merupakan yang terulung di Asia.
“Pelaburannya berjumlah RM1.3 bilion dan jangka siap dalam tempoh lima tahun.
“Kerajaan negeri akan memberi sepenuh kerjasama sama ada melibatkan agensi tertentu, Majlis Bandaraya Langkawi dan Pejabat Daerah agar ia siap mengikut jadual,” ujar beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangi perjanjian usahasama projek litar lumba dan Resort Bersepadu Open Road, Langkawi.
Menurutnya juga proses persetujuan dan perjanjian antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja.
Projek Open Road International Circuit dan Integrated Resorts dibangun di kawasan seluas 183 ekar tidak melibatkan penempatan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut.
Sebaliknya ia dibangunkan di tanah mengadap laut di kawasan terbabit. Projek merangkumi sukan permotoran dan resort bersepadu yang akan mengandungi kediaman mewah dan outlet penjualan barangan mewah.
Selain itu hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kereta 4-S, gudang penyimpanan kereta untuk 990 unit, stesen minyak dan pelbagai lagi tarikan pelancong termasuk restoren kelas dunia.
“Projek terbabit akan memberi manfaat kepada Langkawi dan penduduknya serta menjadi tarikan baru sektor pelancongan selain tarikan sedia ada,” kata Sanusi.
Ketika berucap sebelum itu kata beliau walaupun komponen yang dinyatakan agak mewah, namun diharap segmen untuk kelas menengah dan rendah dimasukkan dalam pembangunan itu supaya limpahan pembangunan dinikmati semua pihak.
Katanya, pembangunan tersebut tidak meminggirkan masyarakat tempatan.
“Semoga pelaksaanaan projek terbabit benar-benar memberi manfaat kepada kemajuan Kedah, Langkawi dan penduduk setempat.
“Kerajaan sentiasa menyokong segala usaha untuk membangun dan menggerakkan sektor-sektor ekonomi di negeri ini,” jelas beliau.
Litar lumba sepanjang 5.8 kilometer dilengkapi litar lurus terpanjang, anjakan selekoh serta hairpin turun bukit yang menyerupai litar Nurburgring, Jerman.
Menurut Menteri Besar litar itu bakal menjadi ‘Nurburgring Timur’ yang meletakkan Langkawi di barisan hadapan peminat sukan permotoran di Asia serta menyediakan platform untuk menyemai R&D dalam sektor automatif.
Pada perjanjian itu Open Road Asia Sdn Bhd diwakili pengasas dan Penasihat Kumpulan, Dato’ David Goh, manakala PKB pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rahman Din.
Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 31/3/2021




















