Tamatkan operasi judi di Genting Highland

Susun langkah untuk sifarkan kegiatan pertaruhan judi dalam negara, bersihkan kantung negara dari sumber haram

- Advertisement -

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu menyusun kerangka ke arah menamatkan sepenuhnya aktiviti berteraskan perjudian dari terus beroperasi di dalam negara ini. Ianya dapat dilaksanakan dengan tidak lagi diberi sambungan untuk melanjutkan perlesenan setelah tamat tempohnya yang akan datang.

Untuk merealisasikannya kerajaan mesti memiliki iltizam politik untuk tidak menjadikan cukai dari sektor tersebut sebagai perolehan hasil kewangan negara. Biarpun memberi nilai sangat besar berbilion ringgit, hakikatnya ia tidak harus menjadi sumber pendapatan apatah lagi sebagai kebergantungan.

- Advertisement -

Jangan kerana ‘pulangan lumayan’, kerajaan bersikap ‘menutup mulut’ atau ragu-ragu dari kebenaran bahawa perjudian sama ada berlesen atau tidak, ianya tetap haram di sisi Islam. Malah yakinlah, ketegasan ini akan mendapat sokongan moral rakyat, sekali gus membersihkan kantung negara.

Setiap tahun cukai sektor perjudian semakin bertambah, tidak termasuk dari perjudian tanpa lesen yang bererti terlalu besar sebenarnya jika ia dapat dicukaikan. Namun, kerajaan tidak seharusnya untuk merasa ‘kehilangan dan kekesalan’ kerana tidak memperolehinya. 

Sebaliknya, pertambahan hasil dan bercambahnya kegiatan tanpa lesen tersebut perlu menjadi satu kebimbangan. Ia penanda aras kepada bertambah ramainya penagih judi dan juga jumlah wang yang telah disia-siakan. Angka itu juga mewakili sebahagian mungkar dan jenayah di sebaliknya.

Wang perjudian tidak lain memberikan kos melepas kepada tanggungjawab yang diabaikan atau pembayaran tidak dilunaskan. Bahkan tidak mustahil menjadi pemicu munculnya jenayah oleh mereka yang terdesak. Hitungkan semua kitaran ini, berapa ramai yang menjadi mangsa?

Kerajaan jangan dilihat sebaris tauke atau syarikat perjudian ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ atau atau ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa’. Kerajaan wajib melindungi dan menyelamatkan rakyat, bukan membina kekayaan seperti tauke atau syarikat perjudian atas merananya rakyat.

Genting Highland yang setanding Las Vegas dalam kalangan penjudi akan jauh lebih masyhur ke seluruh dunia jika aktiviti perjudian dapat ditamatkan. Peranginan alam semulajadi dan istirehat keluarga akan lebih melonjakkan potensinya sebagai destinasi pelancongan.

Lebih dari itu, apabila kasino di Genting Highland dapat ditamatkan, pasti tindakan untuk menutup sama nombor ramalan, loteri, lumba kuda, tikam ekor dan perjudian lain akan lebih mudah. Demikian itu juga perjudian terselindung pasti akan dapat ditangani bila ia menjadi kejanggalan dalam masyarakat.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -