PAS konsisten bantah judi

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) tetap tegas dengan pendirian konsisten untuk membantah aktiviti judi secara habis-habisan. Melalui kenyataan media bertarikh 31 Disember 2020 lalu, saya menyatakan bahawa aktiviti nombor ekor, perjudian atas talian dan sebagainya hendaklah segera dibanteras sehingga ke akar umbi oleh pihak kerajaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

PAS menggesa agar perkara tersebut dipertimbangkan dengan kadar segera. Jangan disebabkan hasil kutipan cukai judi yang dikatakan agak lumayan menjadikan ianya satu alasan aktiviti perjudian boleh dijalankan secara berleluasa.

- Advertisement -

Islam mengharamkan judi kerana terlalu banyak implikasi kepada negara dan institusi sosial bahkan agama lain juga turut mengharamkannya. Antara implikasi judi, ianya memberi keuntungan kepada pemilik premis walhal ramai yang jatuh muflis sekali gus merobohkan institusi kekeluargaan.

PAS juga mengingatkan agar kerajaan menjaga kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dengan menjalankan amanah secara telus dan bersedia untuk membanteras jenayah demi kesejahteraan negara.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
19 Februari 2021 | 7 Rejab 1442 – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -