Kerajaan perlu lebih serius tangani isu LGBT ‘gila publisiti’

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia memandang serius isu yang tular baru-baru ini melibatkan seorang Transgender dikenali umum, yang mengumumkan untuk keluar dari agama Islam kerana ditekan pelbagai pihak.

Pemuda PAS menegaskan bahawa individu tersebut tidak pernah ditekan, sebaliknya beliaulah yang memilih untuk hidup dalam tekanan dengan berkelakuan menyalahi fitrah jantina, mempromosikan kelakuannya dan mencari publisiti di media sosial, serta mencabar pihak berkuasa agama. Beliau juga yang memilih untuk melarikan diri dari dibicarakan di Mahkamah Syariah untuk kesalahan beliau. Maka sewajarnya beliau tidak menyalahkan orang lain atas perlakuan beliau sendiri.

- Advertisement -

Pemuda PAS menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agar menangani isu ini dengan lebih serius. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan memberikan pendidikan agama dan pendidikan sains, selaras dengan syariat. Ini bagi mendidik golongan remaja agar menghargai tubuh badan mereka sendiri yang dicipta dengan sebaik kejadian, selain mencegah mereka dari terjerumus dengan hawa nafsu dan hasutan. 

Selain itu, kerajaan juga digesa menangani isu LGBT ‘gila publisiti’ ini dengan lebih tegas. Orang yang tidak jelas jantinanya selain daripada penyakit semulajadi, atau yang mempromosikan budaya hidup songsang tidak boleh dibenarkan untuk menyiarkan dirinya di media sosial atau media massa. SKMM harus menyekat segala platform media sosial golongan ini bagi mengelakkan ia menjadi pengaruh tidak sihat kepada masyarakat. Kerajaan juga harus lebih kerap mengadakan sesi kaunseling dan bimbingan buat mereka yang terjerumus ke kancah gelap ini, supaya mereka diberi didikan yang sebenar dan kembali ke pangkal jalan.

Nasihat Pemuda PAS buat individu LGBT ‘gila publisiti’ ini, jika anda benar-benar tidak bersalah, berhujah dan pertahan diri anda di Mahkamah Syariah. Jangan mencari publisiti dengan ‘play victim’ dan mendakwa diri anda ditindas, sedangkan anda yang menindas diri sendiri. Jangan ingat anda akan terlepas dari hukuman dengan mengisytiharkan diri keluar dari Islam. Masih ada hukuman yang boleh dikenakan untuk anda, jika tidak di dunia, mungkin di akhirat sana. Jadilah lelaki sejati dan berhadapanlah dengan masalah yang anda sendiri pilih.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/3/2021

- Advertisement -