LGBT: Kerajaan PN tidak bertolak ansur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini yang selaras dengan larangan agama terhadap perkara itu.

Justeru itu, kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk meminda Akta 355 bagi menangani isu berkenaan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu akan dipertimbangkan jika enakmen sedia ada tidak berkesan.

Beliau berkata, bagaimanapun enakmen berkenaan masih diguna pakai.

“Pada masa yang sama pihak berkuasa agama di negeri-negeri sentiasa meningkatkan penguatkuasaan masing-masing.

“Mungkin kita perlu menambah baik penguatkuasaan. Kita tidak menolak kemungkinan untuk membuat pindaan kepada kadar hukuman sedia ada supaya lebih memberi kesan kepada mereka,” ujarnya.

Marzuk menambah, setakat ini hukuman di bawah Akta 355 telah memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Misi Bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Foodbank dan Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan ke Negeri Kelantan.

Penyerahan barangan berkenaan disampaikan di pekarangan Kompleks Purnama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, kerajaan sebelum ini juga mengarahkan penguat kuasa di setiap negeri bertegas dalam isu berkenaan.

“Arahan kepada ketua penguat kuasa agama negeri telah diberikan supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang perlakuan tidak sopan, pakaian kontra dengan jantina dan juga berkelakuan bercanggah dengan undang-undang enakmen syariah negeri,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak termasuk masyarakat boleh melaporkan kegiatan tidak bermoral itu kepada pejabat agama masing-masing.

Selain itu, ibu bapa dan jiran tetangga juga perlu bersama-sama kerajaan memainkan peranan dalam menangani isu itu menjadi lebih parah agar tindakan mahupun pendakwaan boleh dilaksanakan.

Ahmad Marzuk juga memberitahu, selain penguatkuasaan dan hukuman kerajaan turut memberikan sokongan kepada kumpulan LGBT yang ingin berhijrah.

“Saya sendiri turun padang mendekati golongan ini, mereka mahu berubah cuma perlu sokongan.

“Kerajaan juga menyediakan bimbingan kerohanian selain bantuan modal untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -