Segera urus perbezaan BERSATU-Umno-PAS

Setahun Perikatan Nasional: Kesatuan Islam-Melayu perlu terus kekal berkuasa

SELEPAS Perikatan Nasional (PN) mengambil pemerintahan negara daripada PH, pada 2 Mac 2020, saya menulis dalam Ismaweb bertajuk ‘Beri peluang kepada PM baharu untuk buktikan’. Siapa pun yang menerajui kerajaan, selagi berada di landasan yang benar, perlu disokong. Rakyat dahagakan keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Justeru, kurangkan berpolitik. Bekerjalah dengan penuh ikhlas dan integriti yang tinggi, agar rakyat sejahtera. Kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi. Terimalah hakikat bahawa Allah masih memberikan peluang kepada PN, menggantikan PH.

Selaku orang yang mempunyai berpengalaman luas, sama ada peringkat negeri, mahupun pusat, apa lagi yang Perdana Menteri (PM) mahu melainkan untuk menggalas tugas besar demi agama, bangsa dan negara. Langkah segera, bermula dengan pembentukan Kabinet. Tidak ada lantikan Timbalan Perdana Menteri bagi memuaskan hati semua pihak, untuk ketika itu. Boleh dikatakan, semua pihak berlapang dada menerima.

Advertisement

Namun, bukan semua yang dipilih itu menjadi. Ada yang masih mengamalkan politik Pandir dan Bebalisme, istilah yang digunakan oleh Almarhum Syed Husein Al-Atas, masih terus terngiang-ngiang ketika menjadi anak muridnya suatu masa dahulu. Pandir dan bebal. Pandir merujuk kepada cerita Pak Pandir dan Mak Andir, manakala bebal, memperlihatkan kebodohan yang nyata.

Tak apalah, sudah terlepas. Menang PRU15, tukarlah mereka ini. Langkah seterusnya, diikuti dengan pemilihan Speaker Dewan Rakyat, seterusnya Dewan Negara. Sekali lagi PM bertindak berani, memilih calon yang kontroversi, Azhar Harun, Alhamdulillah, Allah merestui. Speaker yang dilabelkan sebagai ‘Liberal’ dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Ketika itu, negara kita digegarkan dengan pandemik COVID-19. Begitu menguji kepemimpinan Perdana Menteri. Alhamdulillah, setahun berlalu, negara ‘berjaya’ diuruskan dengan baik berhadapan wabak. Pada 25 Mac 2020, saya menulis lagi, memuji seorang Perdana Menteri berdoa, menadah tangan secara live, belum pernah dilakukan oleh PM sebelum ini.

Negara sangat memerlukan pemimpin seperti ini, yang sentiasa membawa rakyat mengingati Pencipta, bukannya seperti ultra kiasu dengan agenda Liberalisme.

Jarang saya melihat atau mungkin pertama dalam sejarah, apabila seorang Perdana Menteri dalam ucapannya menadah tangan berdoa secara ‘live’ memohon kepada Allah S.W.T memberkati negara tercinta ini daripada ancaman wabak COVID-19.

PM memohon kepada Allah agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat Malaysia. Selain itu, PM turut menyeru kepada khalayak (rakyat) akan tuntutan sembahyang berjamaah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada di rumah.

Ucapan inilah adalah saat-saat yang paling dinanti-nantikan, yang selama ini tidak pernah keluar daripada seorang bergelar Perdana Menteri. Kali ini dibuktikan. PM dengan penuh keinsafan menyeru rakyatnya untuk tunduk dan sujud kepada Pencipta. Kini, kita telah dengar semua itu. Mudah, tetapi sukar untuk dilakukan.

PM turut menyeru dan mengingatkan rakyat akan tanggungjawabnya kepada Pencipta. Tidak kiranya sama ada Islam atau tidak. Lebih-lebih lagi kita yang beragama Islam. Pada saat yang begitu getir ini, kepada siapa lagi kita mampu berharap setelah segala usaha dilakukan, melainkan kepada Yang Maha Mencipta, itulah Allah S.W.T.

Setelah mengimbau setahun lalu apa yang berlaku, bakal mendepani PRU15, akronim M-U-H-Y-I-D-D-I-N perlu diberikan perhatian. 

M – Malaysia Prihatin, mesra rakyat, buah fikiran PM sendiri. Teruskanlah amalan baik ini. Pagi ini, jam 10 pagi, PM akan berucap sempena setahun Malaysia Prihatin. 

Malaysia Prihatin’ membawa maksud bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik COVID-19, tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak kerajaan, pihak pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.

Ia juga membawa pengertian keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat.

Semangat ‘Malaysia Prihatin’ perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan masyarakat. Ia perlu disematkan dalam ingatan untuk rakyat negara ini mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia, serta menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Terus laksanakan rangsangan ‘Malaysia Prihatin’ dengan telus demi kepentingan rakyat. Bantu mereka yang memerlukan, tanpa pilih kasih.

U – Utamakan Islam, Melayu dan Bumiputera, tanpa nafikan hak agama lain termaktub dalam Perlembagaan, kerana itulah asas negara ini dibentuk. Sesiapa yang berani mencabar kedaulatan ini mesti diambil tindakan

H – Hapuskan rasuah segera. Rasuah ada barah yang sekian lama berkudis, perosak agama, bangsa dan negara. Kerosakan yang selama ini perlu segera diperbetulkan, tidak kira siapa yang melakukannya. Jangan lindungi sesiapa pun yang terlibat. Rasuah ini adalah perbuatan amat terkutuk, tercela dan keji.

Y – Yakin kepada Allah dalam setiap perkara yang dilakukan walaupun mungkin mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Percayalah, pertolongan Allah hadir dalam keadaan yang tidak kita sangka, hanya untuk mereka yang yakin kepadaNya.

I – Istiqamah dan inklusif. Ingat kata-kata istiqamah ini, setiap amal yang sedikit, tetapi istiqamah, adalah lebih baik. Apatah lagi, jika amal yang banyak, tentulah terpuji. Begitu juga sifat inklusif. Ramai berkata inklusif lebih baik daripada eksklusif. Sejauh manakah kita terjemahkan dalam bentuk realiti. BERSATU dan Umno jangan terus berbalah, seolah-olah tidak ada titik temu.

D – Dedikasi dalam melaksanakan tugas dan dasar amat dituntut bagi mendapat kepercayaan orang lain. Jangan ada lagi flip flop. Ingat kata-kata ini, your lack of dedication is an insult to those who believe in you.

D – Doa jangan dilupakan. Itulah sudah menjadi trademark PM, ketika negara dilanda wabak. Mintalah kepada Allah, moga negara ini sentiasa berada dalam rahmatNya. Yakinlah bahawa pemimpin berdoa untuk kesejahteraan rakyat, pasti rakyat akan membalasnya dengan mendoakan kesejahteraan pemimpin akan sentiasa diberikan petunjuk ketika memimpin negara. Mintalah nescaya Allah perkenankan.

I – Identiti, ilmu dan iqra. Negara perlukan kepada identiti dan jati diri. Kita amat bersyukur kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan. Malam-malam begitu aman, tidak ada lagi aktiviti maksiat, perjudian, pelacuran, kelab malam, merempit, melajak basikal, mengedar dadah, rompak, curi dan sebagainya.

Walaupun ada yang melakukan secara diam-diam, sekurang-kurangnya wabak (termasuk PKP) ini telah mengajar dan memberikan pengajaran kepada kita semua. Kembalilah kepada Pencipta. Perkara ini (PKP) perlu difikirkan seterusnya untuk masa akan datang dalam bentuk lain, selepas tidak ada lagi COVID-19 demi untuk menyelamatkan anak bangsa.

Pergerakan bebas pada waktu malam, tanpa ada apa-apa tujuan kerja, hanya akan merosakkan anak bangsa Melayu dengan aktiviti-aktiviti merosakkan. Sebenarnya, Islam sudah lama mengajar kita. Kembalilah atau duduklah di rumah apabila malam menjelma. Kita perlu tidur secukupnya, untuk mencari kekuatan keesokan harinya, meneruskan kehidupan membangunkan agama, bangsa dan negara.

Sebab itulah, buktinya, sangat jelas, waktu senja atau Maghrib, dalam Islam, juga dalam bangsa Cina sekalipun, yang berpandukan kalendar mengikut peredaran bulan (kalendar lunar), masuknya hari baru atau berakhirnya satu hari, adalah pada waktu senja atau Maghrib.

Maghrib atau senja atau waktu kemuncak untuk kita berada semua berada di rumah, bukan berkeliaran tidak tentu pasal. Sebab itulah, kita selalu digalakkan berada di rumah apabila senja menjelma. Itu sahaja saat-saat kita dapat bersama berjamaah bersama keluarga, setelah penat bekerja sepanjang hari.

N – Nilai diri dalam menghadapi norma baharu. Pastikan pemimpin yang dilantik menghayati, menghayati pesan Hamka, manusia itu asalnya daripada tanah, makan hasil tanah, berdiri atas tanah, akan kembali ke tanah, kenapa masih bersifat langit?

Cabaran besar PN menguruskan perbezaan antara Umno-PAS-BERSATU. Jika berjaya, itulah kerajaan paling besar PN. Banyak perkara yang dibangkitkan oleh Umno terhadap BERSATU masih belum dijawab terutama perkara berkaitan dengan integriti dalam menjalankan tugas.

Jika begitulah keadaannya, jangan ada cita-cita dalam kalangan pemimpin BERSATU untuk BERSATU menggantikan Umno. Perkara ini terlalu mustahil untuk berlaku. Apa yang penting hari ini, bagaimana untuk menguruskan perbezaan ini.

Jika BERSATU turut sama memecahkan muafakat yang telah wujud antara Umno-PAS, kita sedang menuju kehancuran. Itulah kejayaan ultra kiasu sebenarnya. Jika ada yang berkata BERSATU mahu menggantikan Umno, sebenarnya kita menggali kubur sendiri. Ingat kata-kata Martin Luther King, a genuine leader is not a searcher for consensus, but a molder of consensus.

Kepada Menteri-menteri lantikan PN, ingatkan pesan, Khalifah Umar al Khattab, belajarlah sebelum menjadi pemimpin. Kerana bila sudah menjadi pemimpin yang diikuti, kita tidak ada masa lagi untuk belajar kerana tingginya kedudukan dan kesibukan pemimpin itu.

Ketika artikel ini ditulis, seorang menghantar video kepada saya, mengenai Erdogen, Presiden Turki yang kelewatan ke masjid sembahyang Jumaat. Bila sampai di situ, masjid penuh, beliau sempat sembahyang di tepi rak kasut masjid. Menitis air mata melihatnya, seorang pemimpin nombor satu, tidak solat di atas sejadah empok, saf yang pertama.

Bilakah kita akan dapat pemimpin seperti ini, melainkan sejadah empok yang sudah sedia berbentang di saf yang pertama? Begitu juga pemimpin nombor nombor dua, tiga, empat dan seterusnya semua sudah tersedia menanti. Jauh sekali kita daripada Erdogen. Usahlah nak dibanding dengan Nabi dan Sahabat.

Kepada semua pemimpin negara, ingat pesan Hamka, saat kau dilahirkan, kau menangis, orang lain ketawa. Tetapi berjuanglah hingga sampai penghujung nyawa, percayalah orang lain menangisi pemergianmu, tetapi kau tertawa dalam senyuman.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.