ECK mempunyai dana bangunkan projek KXP – Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemilihan ECK Group of Companies (ECK) menyertai usaha sama dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dibuat selepas syarikat itu diyakini mempunyai dana mencukupi bagi melaksanakan projek itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata berdasarkan kertas cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri, ECK juga berjaya membuktikan bahawa ia memiliki dana masing-masing sebanyak RM1.5 bilion bagi fasa pertama dan RM5 bilion bagi fasa kedua projek berkenaan.

“Kita cari syarikat yang ada keupayaan kewangan dan berdasarkan cadangan yang dihantar kepada kita. Banyak syarikat yang memohon tetapi banyak yang tidak ada ‘proof of fund’ (bukti dana), dari mana sumber kewangan mereka nak dapat… tetapi syarikat ini (ECK) boleh sebab dia ada ‘proof of fund.

- Advertisement -

“Atas dasar itulah ECK dilantik dengan syarat dalam tempoh enam bulan ia kena lengkapkan penubuhan syarikat bertujuan khas (SPV), kena beri fi komitmen di Pejabat Tanah dan Galian sebanyak 120 peratus (merangkumi) anggaran kos pengambilan tanah dan mesti melepasi ‘due diligence’ yang ditetapkan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pihak yang mempersoal keputusan kerajaan negeri itu memilih ECK menyertai projek itu atas alasan ECK didakwa tidak mempunyai pengalaman membina lapangan terbang atau projek berskala besar.

Muhammad Sanusi juga menegaskan bahawa isu utama dalam projek pembinaan lapangan terbang itu adalah masalah kewangan selepas Kerajaan Persekutuan tidak dapat menyediakan pinjaman kepada kerajaan negeri pada masa ini.

Susulan itu, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan inisiatif kewangan swasta (PFI) dengan mempelawa syarikat yang berminat menyertai projek itu bersama-sama KXP AirportCity Holdings yang telah ditubuhkan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Mengulas mengenai dakwaan bahawa ECK tidak berpengalaman dalam projek pembinaan lapangan terbang, Muhammad Sanusi berpandangan itu bukanlah satu isu memandangkan syarikat itu boleh bekerjasama dengan syarikat atau individu yang mempunyai pengalaman berkaitan.

“Kita beri kelulusan selama enam bulan kepada mereka untuk tubuhkan SPV dan melantik ahli lembaga pengarah SPV. Selepas enam bulan kalau gagal, kita akan lantik syarikat lain yang mempunyai keupayaan kewangan untuk dipelawa sebagai rakan kongsi,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, ECK mengumumkan ia menyertai usaha sama dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi membangunkan KXP dan akan menubuhkan SPV yang akan dipengerusikan oleh Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin. – BERNAMA

- Advertisement -