KXP hampiri fasa pelaksanaan

- Advertisement -

IMPIAN 2.2 juta rakyat Kedah untuk melihat sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu dibangunkan di negeri ini, semakin hampir menjadi kenyataan.

Sebuah firma swasta, ECK Group of Companies (ECK) telah menerima kelulusan Kerajaan Negeri Kedah untuk menyertai usahasama dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Aerotropolis dan Airport City di Mukim Sidam Kiri, Daerah Kuala Muda, Kedah.

Selain lapangan terbang bertaraf antarabangsa dengan dua landasan, komponen utama lain projek ini ialah pembangunan bandar raya udara dikenali Kedah Aerotropolis dan Airport City di Iokasi yang sama.

- Advertisement -

ECK akan terlibat secara langsung sebagai rakan strategik projek ini bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan. Ini termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa KXP serta membawa masuk operator lapangan terbang dan operator kargo Antarabangsa untuk menjalankan operasi di KXP setelah siap kelak.

Selain itu, ECK juga akan memainkan peranan utama dalam pembangunan bandar raya udara, Kedah Aerotropolis dan menarik pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Aerotropolis dan Airport City.

Para pelabur utama pelbagai industri seperti dari sektor kewangan, industri pengilangan serta perusahaan berat dan sederhana, khususnya teknologi udara, teknologi moden AI, semikonduktor dan sebagainya yang bernilai tinggi akan menghidupkan KXP sekali gus menarik perhatian seluruh warga dunia terhadap kewujudan lapangan terbang antarabangsa baharu ini di Negeri Kedah.

Kedah Aerotropolis menjadi lengkap dengan pembangunan bandar raya moden dengan komponen perumahan dan perniagaan, bandar perubatan, pengurusan akademi, teknologi informasi dan komunikasi serta hab pengangkutan serba lengkap. Dari segi pembangunan ekonomi, penduduk tempatan dan mereka yang berhijrah dari luar akan menikmati pelbagai tawaran daripada pembangunan ini yang akan meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Demi mencapai tujuan ini, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) akan ditubuhkan dengan fungsi utama mendorong pembangunan dan kewangan bandar raya udara di kawasan seluas 10,000 ekar.

Syarikat SPV ini akan dipengerusikan Tunku Laksamana Negeri Kedah Darul Aman. YTM Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

Anggota Lembaga Pengarah Syarikat pula terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Kedah dan pihak swasta.

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim sebagai katalis pembangunan, beserta dengan Kedah Aerotropolis dan Airportcity serta projek-projek pengangkutan lain yang akan dibangunkan bersama adalah begitu signifikan untuk Wilayah Utara Semenanjung Malaysia. Setelah siap kelak, KXP bakal mengubah wajah Negeri Kedah dan negeri-negeri jiran secara drastik.

Proses urbanisasi dan perubahan paradigma ekonomi seperti ini diyakini akan meletakkan Kedah di aras yang lebih tinggi untuk menjadi salah satu negeri maju pada masa akan datang.

 Kenyataan ini dikeluarkan oleh:

 ECK GROUP OF COMPANIES – HARAKAHDAILY 25/2/2021

- Advertisement -