Projek KXP lepasi anak tangga pertama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bersetuju mempercepatkan kertas cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang sekian lama tertangguh pelaksanaannya.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan secara di atas talian bersama MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

- Advertisement -

“Selepas 6 tahun (2014-2020), baru kali ini KXP berjaya melepasi ‘anak tangga pertama’ dalam urutan prosedur rasmi projek-projek berskala besar negara MPFN.

“Tahniah kepada semua pihak yang bekerja keras menjayakan tugasan besar ini sejak KXP dicetuskan. Tugasan berikutnya ialah mendapatkan kelulusan kabinet,” ujar beliau pada catatan di media sosialnya.

Kata Muhammad Sanusi pihaknya juga cuba memohon MPFN Khas atau MPFN terjadual itu disegerakan memandangkan waktu yang ada semakin suntuk.

Sebelum ini KXP berhadapan dengan pelbagai rintangan berikutan pelaksanaannya perlu mendapat kelulusan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP) terlebih dahulu.

NASP berkenaan dijadualkan akan siap pada tahun 2023 sedangkan dalam masa yang sama KXP sudah pun melalui kajian terperinci sebelum ini.

“Alhamdulillah usaha itu berhasil dan semoga tugasan berikutnya untuk mendapatkan kelulusan kabinet dipermudahkan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -