Satu juzuk sehari taklifat minimum Pemuda PAS

- Advertisement -

AL-QURAN adalah sumber primer kepada pembentukan negara dan tamadun Islam. Al-Quran hadir sebagai sebuah manual kehidupan lengkap yang merangkumi seluruh aspek kehidupan bermula daripada sistem kehidupan manusia sebagai seorang individu sehinggalah kepada manusia sebagai seorang pentadbir tamadun dunia.

Al-Quran bukanlah buku sains, tetapi al-Quran sentiasa mengajak manusia untuk berfikir secara kritis dalam semua perkara seperti fenomena alam, biologi, fizik, kimia, matematik, juga ekonomi, undang-undang, sosial dan lain-lain.

Al-Quran hadir dalam dua keadaan, pertamanya dalam keadaan yang jelas serta terperinci dan yang keduanya datang dalam keadaan yang tidak jelas namun jelas dari sudut prinsip dan nilainya. Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita semua untuk mempelajari dan memahami isi kandungan al-Quran dan berfikir bagi urusan dunia melalui kerangka syarak seperti yang telah dinyatakan di dalam al-Quran.

- Advertisement -

Allah S.W.T berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah S.W.T semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

(al-Imran: 191)

Di antara kesan al-Quran kepada kehidupan seseorang ialah ia sentiasa mendorong manusia untuk berfikir, merenung dan mengambil iktibar daripada segala kejadian alam. Mereka diberikan gelaran oleh Allah S.W.T dengan gelaran Ulul Albab. Mereka adalah manusia yang mengambil pengajaran daripada al-Quran serta dapat pengajaran daripada alam semesta serta segala penciptaan Allah S.W.T.

Membaca dan memahami (tadabbur) intipati al-Quran pula adalah merupakan salah satu daripada tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Membaca dan memahaminya dikira sebagai ibadah, apatah lagi mengamalkan isi kandungannya.

Firman Allah S.W.T: 

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai mengambil pengajaran.”

(Sad: 29)

Tadabbur bermaksud memahami apa yang terkandung di sebalik makna ayat al-Quran. Terdapat empat tempat di dalam al-Quran yang menyebut mengenai tadabbur al-Quran iaitu surah surah al-Nisa’ayat 82, surah Muhammad ayat 24, surah al-Mukminun ayat 68 dan surah Sad ayat 29. 

Secara umumnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dalam usaha untuk membaca dan memahami al-Quran melalui bimbingan para alim ulamak serta berfikir secara kritis ke atas ciptaaan Allah S.W.T agar kehidupan manusia yang penuh dengan kerosakan ini dapat dipertingkatkan ke arah yang lebih baik.

Apa yang penting bagi kita ialah jangan biarkan sehari dalam hidup kita berlalu tanpa membaca al-Quran terutamanya bagi semua anak-anak harakah PAS. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang berjuang di atas landasan al-Quran dan berjuang demi menegakkan syariat (cara hidup manusia) yang ada di dalam al-Quran. Adalah menjadi tanggungjawab bagi semua ahli PAS untuk memahami al-Quran di samping memperjuangkannya di atas muka bumi Allah ini.

Kepada semua Pemuda-pemuda PAS saya mewajibkan mereka untuk membaca al-Quran sekurang-kurangnya 1 juzuk sehari. Ini adalah taklifat minima bagi Pemuda-pemuda PAS seluruh Malaysia. 21 muka surat sehari adalah tidak mustahil bahkan ianya adalah praktikal.

Saya mahu Pemuda PAS bukan sekadar melaung-laung nama al-Quran semata-mata tetapi mestilah membaca, memahami dan berpegang teguh dengan ajaran al-Quran. Inilah kualiti Pemuda PAS yang ditarbiah. Mereka adalah pejuang muda tahan lasak yang teguh kekuatan dalaman mereka di samping kekuatan luaran yang sentiasa dilatih daripada semasa ke semasa tanpa pernah henti. Mereka berjuang kerana Allah dan tidak pernah takut kepada golongan yang ingin menghancurkan mereka. Inilah Pemuda PAS Malaysia yang sejati.

Sekian

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -