Budayakan Al-Quran di musim PKP

- Advertisement -

PEJAM celik, masa begitu pantas menghambat kita semua, detakan jarum jam hari ke hari seolah jam ke jam sahaja bagi manusia di akhir zaman ini.

Ramai kalangan kita yang tak sedar bahawa hari ini genaplah setahun kes pertama Covid-19 yang membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui sempadan Johor daripada negara Singapura.

Mulanya kita tak merasa gerun akan pandemik ini namun, statistik terkini menunjukkan kes jangkitan Covid di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan.

Virus ini telah berada di sekitar kita, bahkan menyentuh insan-insan yang kita kenali dengan sejumlah 678 orang telah meninggal dunia serta dijangka angka kematian akan terus meningkat.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini.

Bermakna purata kes positif sehari ialah 503 orang. Tiada negeri di Malaysia yang selamat, bahkan negeri seperti Selangor pula, masjid dan suraunya telah lama menyepi daripada aktiviti.

Suram dan bungkam suasana ekonomi serta perayaan keagamaan, namun segalanya tersembunyi hikmah daripada pemilik alam buana ini.

Kini, di musim Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) ini telah menjadi gurauan tentang tahap imam-imam di rumah masing-masing.

Lelucon ini, bertebaran di alam siber tentang ketidakupayaan ketua keluarga membaca surah-surah panjang.

Alangkah bahagianya jika solat berjemaah lima waktu di musim PKP ini diimamkan oleh suami atau putera-putera lelaki yang menghafaz Al-Quran.

Rumah tangga pasti bahagia dengan gema Al-Quran serta usaha membaiki bacaan Al-Quran serta pembelajaran ilmu Al-Quran.

Pendaftaran SRIDAR An-Nur Besut, pada 20 Januari lalu. Sumber Dr Riduan Mohamad Nor.

Penulis mencadangkan supaya masyarakat Muslim negara ini menggerakan kempen satu keluarga, satu hafiz dan kerajaan mestilah melakukan usaha terancang dan bersungguh untuk menjayakan kempen ini.

Mewujudkan satu keluarga, satu hafiz juga akan menjadikan sesebuah keluarga itu membudayakan Al-Quran secara berterusan dan usaha membina keluarga sakinah akan mencapai matlamat yang disasarkan.

Keluarga sakinah akan melahirkan generasi yang berkualiti, menjauhi najis dadah, menjauhi gejala sosial serta kebobrokan yang lain.

Masyarakat perlu tahu mengapa sekolah tahfiz menjadi tarikan pesona kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar agama.

Menarik juga, kerana sebahagian besar yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz mahu pun sekolah agama rakyat (SAR) ialah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan.

Mereka tidak naif sebagaimana sangkaan sebahagian masyarakat bahawa maahad tahfiz adalah sarang buangan pelajar yang bermasalah atau ibu tunggal yang mahu mencari suri hati melepaskan anak mereka berdikari.

Euforia Islami dengan pengamalan agama di maahad tahfiz akan mengacuankan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa dan penjaga.

Kita seharusnya jujur melihat kegagalan pendidikan arus perdana negara ini. Kadar kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun terakhir ini melebihi 503,000 orang, kadar penagihan dadah yang mencanak, gejala buta Al-Quran dan seribu satu fenomena kebejatan akhlak yang merupakan produk pendidikan arus perdana hari ini.

Impak daripada kebejatan sosial dan fenomena buta Al-Quran itulah maka ibu bapa melihat ke arah pendidikan alternatif, iaitu sekolah tahfiz.

Sekolah tahfiz menjadi tarikan masyarakat dalam tiga dekad terakhir ini, terutama usaha gigih para asatizah muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan Sub Continent.

Kerajaan Kelantan sebagai contoh antara pemicu utama menggalakkan sekolah tahfiz integrasi sehingga melahirkan pendidikan gabung jalin antara sains dan Al-Quran.

Idea Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini akhirnya meletus fenomena tahfiz sains di seluruh negara.

Masyarakat harus memahami betapa sukarnya untuk mengoperasikan sekolah-sekolah tahfiz yang termasuk dalam kategori sekolah agama rakyat.

Kita jangan pernah lupa apa yang berlaku di zaman regim terdahulu dekad 90-an dengan sekatan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat.

Para penggerak SAR termasuk maahad tahfiz berkeringat dan menebalkan muka untuk mencari dana bagi menggerakkan pendidikan Islam ini.

Tidak kecil hujaman dan ujian bertindan tindih kepada sekolah tahfiz, bahkan termasuk pembesar, agamawan Islam sendiri yang menghujat sekolah tahfiz dan penggeraknya.

Maka teman-teman sekalian, dengan berlakunya musim PKP 2.0 ini, ubahlah cara berfikir kita kepada hafiz dan sekolah tahfiz.

Berpada-padalah dalam menghujam sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz. Kewujudan institusi ini sedikit sebanyak meringankan beban kerajaan dalam sektor pendidikan.

Seharusnya polemik tentang sekolah tahfiz ini meruak aura positif kita tentang keperluan untuk memberdayakan pendidikan Islam.

Dalam peruntukan bajet tahunan, pemerintah wajib memberikan peruntukan pembangunan prasarana, pengupayaan kepada sekolah tahfiz.

Sudah lama sekolah agama rakyat dianaktirikan pemerintah bahkan masyarakat kita sendiri yang hanya pandai berkomentar.

Bercerminlah! Jangan santri dan asatizah sekolah tahfiz hanya dicari ketika kematian dan doa selamat.

Kita boleh belajar daripada negara Turki yang mampu membangunkan institusi sekolah tahfiz mereka sehingga berjaya memupuk kefahaman Islam yang semakin baik kepada generasi muda.

Al-Quran adalah mukjizat, dan percayalah ianya ubat mujarab untuk menyembuhkan negara kita daripada kebobrokan dan kebejatan sosial.

Jom wujudkan seorang hafiz untuk satu keluarga!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -