Perlu yakinkan rakyat, mesti buktikan peluang menang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno, PAS dan BERSATU mesti memperlihatkan persepakatan yang kukuh agar diyakini rakyat untuk menjadi pilihan, sekali gus diberikan undi pada PRU15 akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, majoriti pengundi masih terdiri daripada golongan rakyat yang tidak mempunyai penglibatan kepada mana-mana parti.

- Advertisement -

Demikian itu katanya, ketiga-tiga parti harus mengakui di sebalik jumlah keanggotaan parti dimiliki, rakyat awam selaku pengundi terbesar adalah faktor utama kepada penentu kemenangan.

“Jadi, saya kira bahawa semua pihak perlu duduk semeja, bincang dan tidak melontarkan apa-apa pandangan secara terbuka di media sosial, mahupun di ruang public supaya memastikan perbincangan ini dapat dilakukan dengan harmoni,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini mengingatkan, sebarang tuntutan mesti didengari serta diselesaikan dengan sikap toleransi yang merupakan asas utama untuk mencapai keputusan terbaik.

Tegasnya, keadilan pembahagian kerusi mesti diberikan hak kepada setiap parti tetapi dengan membuktikan peluang besar dan kekuatan untuk menang di kerusi mahu ditandingi itu.

Nasihat beliau, jangan ada yang mendabik dada, sebaliknya, Umno, PAS dan BERSATU mesti bersama bagi menjamin penguasaan majoriti melebihi dua pertiga dalam kerajaan bakal dibentuk selepas PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -