PRU15: Bersatu, istiqamah dan bermuafakat

- Advertisement -

DALAM kenyataannya sejurus Darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan: ‘…bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan.’

Menurut Pengisytiharan Darurat yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu, ianya berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau tarikh lebih awal iaitu jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Ini bermakna Parlimen berkemungkinan besar akan dibubarkan sejurus 1 Ogos 2021 ataupun tarikh lebih awal kiranya wabak ini berjaya ditangani dengan baik.

Bermakna kini cuma tempoh 7 bulan memisahkan kita dengan jangkaan pembubaran Parlimen atau mungkin lebih awal. Masalahnya apakah persediaan kita? Apakah kita sudah bersedia mengemukakan suatu gagasan yang boleh diangkat dan disokong oleh rakyat apabila PRU15 diadakan nanti kerana pastinya kita tidak mahu melihat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

- Advertisement -

Bagaimanakah Muafakat Nasional (MN)? Bagaimanakah Perikatan Nasional (PN)? PAS mendukung slogan ‘Memperkukuh MN dan Mempertahankan PN’, sejauh manakah perkembangannya sehingga boleh menjamin kemenangan besar apabila PRU ke-15 diadakan dalam tempoh 7 bulan berkenaan?

Sedangkan saban hari apa yang kita lihat, baca dan tonton adalah perbalahan besar dan terbuka antara parti-parti yang mendukung Kerajaan Perikatan Nasional hari ini. Media sosial khasnya yang pro PH menggambarkan Umno dan BERSATU sedang bersengketa besar-besaran sehingga ke peringkat mustahil boleh berkerjasama walaupun masing-masing masih mempertahankan kerajaan yang ada. 

Dalam pada itu PAS pula seakan tersepit di tengah-tengah. PAS menghargai muafakat bersejarah yang dijalin bersama Umno yang termeterai melalui Piagam Muafakat Nasional dan dalam waktu yang sama turut menghargai kerjasama dengan BERSATU selain parti-parti lain yang mendukung kerajaan ini. Dalam konflik Umno dan BERSATU ini PAS seakan ditelan mati emak diluah mati bapa, cukup tersepit.

Mampukah segala sengketa dan perbalahan ini direda dan diselesaikan secara baik dalam tempoh singkat 7 bulan ini atau kita bakal menyaksikan perpecahan besar-besaran sesama Umno, BERSATU dan PAS sehingga akhirnya tidak dapat dielakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRU nanti. 

Jika berlaku lagi pertandingan 3 penjuru kita sudah boleh menduga kesudahannya, iaitu kemenangan percuma buat PH sebagaimana keputusan PRU14 dahulu dan tatkala itu bersedialah mengangkat kembali DAP sebagai parti dominan dalam kerajaan baru PH nanti.

Realitinya yang paling ideal dan dibimbangi musuh adalah apabila semua pihak PAS, Umno dan BERSATU dapat bermuafakat dan bersepakat, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, sehingga membina satu gagasan politik baru yang kukuh berteraskan penyatuan umat Melayu Islam dan didukung parti-parti lain yang berbilang kaum dan agama.

Jika gagasan ini terbentuk PH bakal kecundang besar dan bukan sahaja PKR dan PAN akan kalah besar malah DAP juga bakal tergugat khasnya di kerusi-kerusi campuran yang ia kuasai. Bukankah memusnahkan ancaman ini cita-cita kita bersama? Isunya hari ini, mampukah gagasan yang dimaksudkan dibina dalam tempoh 7 bulan ini?

Mungkin ia kelihatan sukar dan hampir mustahil, tetapi dalam politik apa sahaja mampu kiranya semua pihak bersedia, berlapang dada, sanggup berkorban dan berkongsi satu matlamat dan cita-cita bersama iaitu dalam hal ini menyatukan kuasa politik Melayu Islam demi menjamin keadilan buat semua rakyat dalam negara. 

Hanya penyatuan kuasa politik inilah yang dapat membendung dan menggagalkan kembalinya bertapak DAP dan sekutu PH nya yang telah membikin onar dan mencabar status quo yang ada selama 22 bulan mereka diberi kuasa selepas PRU14 lalu.

Sedarlah kiranya kuasa politik ini berjaya dibina ia bakal menatijahkan kemenangan besar sampai ke peringat majoriti dua pertiga di Parlimen sehingga memungkinkan banyak perkara dan agenda dapat diperbaiki dan diselesaikan demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan buat semua. Tiadakah kita mahu melihat bumi bertuah yang kita pijak ini kekal menjadi milik kita buat selama-lamanya?

Lantas mendepani 7 bulan yang mencabar ini, tiada kaedah dan cara lain melainkan pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti tonggak ini iaitu PAS, Umno dan BERSATU perlu dan wajar duduk berbincang secara matang dan serius menelaah dan menghalusi masa depan ummah, bagaimanakah ia dapat dibina, diselamat dan dipertahankan.

Tiada guna kita berbalah dan bersengketa sedang yang gembira dan bakal meraih untung lumayan adalah musuh-musuh politik kita. Memang kita punya banyak perbezaan kalau ia mahu dihitung dan dijumlahkan tetapi utamakan dan hargailah persamaan-persamaan besar yang kita miliki dan dukung bersama. Bermula dan bergerak dari situ. Adapun perkara-perkara cabang memang boleh dibahas dan berbeza pandangan kerana ia tidak mencacatkan yang pokok. 

Pokoknya kita bersama dan bersetuju bahawa kuasa politik ummah perlu disatukan demi menjamin dan membina kekuatan masa depan. Mustahil Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang pada masa ini merupakan tonggak kepimpinan Melayu Islam dalam negara tidak boleh duduk semeja bermuhasabah, berbincang dan meneroka jalan penyelesaian demi nasib dan masa depan jutaan ummah yang mengharap di luar sana.

Allah S.W.T menyeru kita berpegang teguh dengan tali-Nya dan jangan berpecah-belah. Ketika bermusuhan, Dia telah menyatukan hati-hati kita sebagai satu nikmat dari Nya dan dijadikan kita semua bersaudara. Ayat 103 surah al Imran di dalam al-Quran ini dibaca dan diimani ketiga-tiga pemimpin besar kita, lalu lakukanlah sesuatu sebagaimana kehendak-Nya.

Memang mudah mahu bersengketa dan bermusuhan, mencari salah dan menuding jari, tetapi bukankah kita punya rujukan dan panduan. Berbalah setara manapun ingat akhirnya kita satu bangsa dan satu aqidah, alangkah baik kiranya kita insaf dan mencontohi jalan yang telah diteroka junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W sehingga berjaya disatukan umat Islam di Madinah hingga terbentuknya sebuah negara yang aman dan diberkati Allah S.W.T.

Semuanya mampu dilakukan syaratnya bermula dari pimpinan tertinggi bersedialah mengikat diri sekemasnya dengan tali Allah S.W.T itu, selamatlah agama, bangsa dan negara. 7 bulan tidak lama dan masa terus berdetik dan berlalu. Ini giliran kita kata Tuan Guru Presiden PAS dalam Ucapan Dasarnya semasa Muktamar PAS 2020 lalu, jangan persiakan peluang ini kerana kemenangan sudah hampir pasti dengan izin Nya, syaratnya bersaudara, beristiqamah dan bermuafakat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -