2021: Pertahan PN, Perkukuh MN

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia terus bertekad untuk mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional(MN). Tekad ini adalah kerana DMPM percaya ia adalah wadah terbaik dalam usaha menyatukan semua rakyat yang cintakan kesejahteraan dan ingin memastikan negara ini terus berada di landasan yang betul untuk negara yang lebih stabil.

- Advertisement -

Sebagaimana yang telah termeterai pada piagam Muafakat Nasional, asas kesatuan ini adalah Islam dan Melayu tanpa mengabaikan kepentingan dan nasib bangsa lain.

Keharmonian kaum, kestabilan politik dan kesejahteraan negara juga merupakan teras dalam permuafakatan yang ditandatangani oleh PAS dan UMNO.

Biarpun dengan tambahan parti Bersatu dan sebahagian PKR selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan, asas dan tunjang kerajaan baru yang dibentuk iaitu Perikatan Nasional masih tidak berubah.

Jika sebelumnya, PAS dan UMNO bersatu demi memastikan survival Islam dan Melayu, kehadiran pihak lain juga merupakan suatu rahmat dalam Muafakat Nasional.

Apa yang harus difahami, PAS sedia bekerjasama dengan siapa sahaja yang menghormati dan menerima syarat yang telah ditetapkan dalam Muafakat Nasional.

PAS mengambil pendirian tegas dan mempertahankan prinsip Islam dan keadilan. Kami sentiasa berusaha untuk berjiwa besar dengan mengusahakan jalan perdamaian andai berdepan apa-apa krisis asalkan ia tidak menggugat kepentingan Islam dan Melayu.

Sengketa lama yang telah berjaya dilupakan PAS bukan lah kerana survival politik tetapi demi survival Islam dan Melayu.Kepimpinan kami sentiasa menekankan perkara ini dalam apa jua tindakan dan hala tuju kami.

Ramai yang mempersoal tindakan PAS dalam berdepan banyak isu namun apa yang perlu difahami, tindakan PAS ketika memegang kerajaan perlu berbeza dari sewaktu menjadi pembangkang.

PAS telah menunjukkan contoh terbaik selama menerajui Kelantan dan sedang memacu kemajuan negeri Terengganu dan Kedah. Perbincangan untuk kebaikan umat Islam dan Melayu sentiasa diadakan bagi membentuk sebuah kerajaan yang mampan dan berdaya maju.

Dengan hadirnya tahun 2021, Dewan Muslimat PAS mengharapkan semua pihak belajar untuk berusaha bagi membangunkan negara bersama-sama dan mencari solus terbaik di era pandemik melanda dunia. Survival negara haruslah diletakkan di bahu semua warga tidak mengira parti politik, agama dan bangsa.

Jika punya solusi yang lebih baik, beri cadangan dan adakan perbincangan dengan pihak kerajaan. Sekarang masa terbaik untuk menunjukkan keikhlasan kita dalam membina negara bukan sekadar mahu meraih kuasa.

Islam memperkukuh perpaduan.

Islam memimpin wanita sejahtera.

DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
02.01.2021
18 Jamadilakhir 1442H – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -