‘Mak Nyah’ akan digaris dalam kesalahan jenayah Syariah

SAYA ambil perhatian mengenai maklum balas sahabat-sahabat berkenaan isu Undang-undang Syariah yang melibatkan golongan yang berpakaian bertentangan dengan jantina. Sejak pagi semalam, saya mendengar dengan tekun pendapat-pendapat yang diutarakan, baik daripada pihak yang menyokong, menyelar mahupun yang mempertikaikan aspek hukuman kepada golongan ini. Kesemuanya ada dalam catatan saya.

Pertamanya, saya nak bagi satu contoh situasi mengikut undang-undang di Wilayah Persekutuan. Katalah kita tahu ada seorang ‘Mak Nyah’ di sana. Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, penguatkuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana dia seorang ‘Mak Nyah’. Pihak pendakwa perlu membuktikan bahawa dia menjadi ‘Mak Nyah’ di tempat awam dan dengan tujuan tidak bermoral. 

Advertisement

Aspek Undang-undang Syariah kita agak ketinggalan dalam hal ini kerana jika perlakuan itu dimuat naik ke media sosial, ia tidak dikira sebagai tempat awam. Inilah sebab kita mahu pinda semua Undang-undang Syariah yang ada kaitan dan kita akan usahakan secara berperingkat. Kita mahu Undang-undang Syariah juga selari dengan perkembangan arus teknologi dan keadaan semasa.

Ada dua perkara yang saya akan pastikan ia dimasukkan dalam pertimbangan untuk pindaan. Pertama, tukar jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam Undang-undang Jenayah Syariah.

Kedua, kandungan media sosial yang berkaitan dengan semua perlakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan Syariah yang dilakukan secara dalam talian.

Untuk pengetahuan semua juga, kita telah pun menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi menangani isu LGBT yang beragama Islam. Jawatankuasa ini dianggotai oleh lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lepas.

Doa dan sokongan kalian semua amatlah kami harapkan dalam usaha mengekang individu dan organisasi yang cuba mempromosi gaya hidup songsang kepada anak-anak kita.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 21/1/2021