Mungkin pinda hukuman lebih tegas babit LGBT

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan tidak menolak kemungkinan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata hukuman semasa di bawah akta tersebut, iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 serta enam kali sebatan dilihat kurang memberi kesan kepada golongan berkenaan.

Pindaan ini dilihat perlu bagi menangani salah laku mereka, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kompleks Purnama dekat Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya pada masa ini tindakan tegas sudah dikenakan terhadap mereka yang berpakaian bertentangan dengan jantina mereka.

“Semua agensi dan penguat kuasa agama negeri sudah diarahkan mengambil tindakan terhadap mereka (LGBT) yang berkelakuan tidak sopan.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa maksiat daripada LGBT itu, kita tidak izinkan mereka berkelakuan seperti itu,” katanya lapor Bernama.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tidak sihat yang dilakukan oleh golongan berkenaan tampil membuat laporan kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Al-Bakri menjelaskan, pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kumpulan LGBT bukan merupakan satu ancaman kepada golongan tersebut.

Terangnya beliau dipetik TRDI News, ia sekadar pemerkasaan dari sudut pelaksanaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mempunyai penguatkuasaan, pendakwaan dan sebagainya. 

“Seperti apa yang sedia ada dalam enakmen-enakmen setiap negeri, boleh dilaksanakan selama mana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan saya amat tekankan mengenainya.

“Sebagaimana kita tengok pihak Polis dan pihak berkuasa lain menjalankan SOP mereka dengan baik, begitulah seharusnya bagi bahagian penguatkuasaan agama di negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Seminar Murabbi Ummah di Duyong Marina & Resort, Julai tahun lalu.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan kumpulan berkenaan bagi memberi kefahaman berkaitan isu berkenaan.

“Kita akan ada dialog dan perbincangan dan akan cuba menjelaskan pada mereka hasrat kita selain sedia mendengar penjelasan mereka.

“Bukanlah kerja kita nak tangkap setiap orang. Kerja kita ialah melihat setakat mana kesilapan yang kadang-kadang boleh mempengaruhi masyarakat, dari segi norma kehidupan manusia itu sudah dilanggar,” katanya.

Beliau juga menegaskan akan mengusahakan tindakan sepatutnya kepada sebahagian individu transgender yang dilihat sewenang-wenangnya memberikan pengaruh kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -