Di mana RUU355, Perundangan Syariah di bawah PN?

KUALA LUMPUR: Kerajaan amat komited dan berhasrat untuk membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) atau lebih dikenali sebagai RUU355 yang kini sedang diselesaikan beberapa proses penting berkenaannya.

Advertisement

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary menjawab demikian kepada soalan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

“Perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu agar ia dapat digubal dan dibentangkan mengikut tertib dan teratur berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha untuk menggubal RUU355 dan merundingi negeri-negeri akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa pelaksana kepada Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syarak dan Sivil.

“Ia ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). MKI, yang telah diperkenankan penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja berperanan, antara lain, untuk memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

“(Iaitu) berkenaan perundangan, pentadbiran dan pendidikan Islam dengan tujuan untuk memperbaiki, menyamakan atau menggalak persamaan undang-undang, pentadbiran dan pendidikan Islam di negara ini,” jelasnya.

Beliau dalam jawapan itu turut memperincikan gerak kerja jawatankuasa terbabit yang telah melakukan penyusunan keanggotaan lebih mantap dan berwibawa serta mengadakan penelitian aspek-aspek berkaitan hingga berjaya menggubal draf RUU355.

Jelas Ustaz Ahmad Marzuk, draf tersebut akan melalui pula pelbagai dialog, forum rundingan dan penyelarasan berkaitan dengan melibatkan pemegang taruh serta kalangan perjawatan yang bakal terbabit.

Menjawab pertanyaan tambahan mengenai perancangan dan pelan strategik pemerkasaan Undang-undang Syariah di Malaysia, beritahu beliau bahawa secaa khusus kerajaan telah merangka bagi tempoh lima tahun ke depan.

“Dalam Pelan Pemerkasaan tersebut, kerajaan telah merancang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada dan lapan undang-undang syariah subsidiari iaitu dalam bentuk Kaedah-Kaedah.

“Penggubalan pindaan kepada Akta 355 merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut. Juga kerajaan telah merancang untuk menggubal beberapa undang-undang syariah baharu termasuk RUU Wakaf, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan lain-lain,” beritahunya. – HARAKAHDAILY 27/11/2020