Pemuda Perikatan Nasional sumbang RM15,000 di Kemaman

KEMAMAN: Pemuda Perikatan Nasional telah turun padang mengadakan Operasi Pembersihan dan Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir 2021 di Bandar Baru Bukit Mentok, di sini baru-baru ini.

Program ini bertujuan menyantuni mangsa banjir dengan meringankan beban mereka kesan dari banjir yang menyebabkan rumah kediaman mereka dilanda lumpur, selain kerosakan harta benda.

Advertisement

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin sendiri memimpin inisiatif tersebut dengan turut disertai anggota Jabatan Amal Malaysia dan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga, dan Perpaduan Nasional Kerajaan Negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang juga ADUN Chukai turut bersama dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood.

Selain bertungkus-lumus membersihkan kediaman penduduk setempat, Ir Ts Khairil Nizam turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 melalui Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Nasir Abdul Razak.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan (frontliner) dengan menyanjung tinggi pengorbanan mereka.

“Kami beri sumbangan ini sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada ‘frontliners’. Terutama kepada pihak polis dan bomba yang membantu dalam misi ini,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan rakyat dan negara ini telah terhutang budi dengan ‘frontliners’ yang sejak penularan COVID-19 berlaku telah bertugas tanpa cuti serta berdepan risiko saat orang lain dapat bersama keluarga.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat dapat menunjukkan solidariti bersama anggota ‘frontliners’ dengan mematuhi segala ketetapan prosedur operasi standard (SOP) kebersihan diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 16/1/2021