Bilakah munculnya kerajaan awal di Kelantan?

- Advertisement -

SUATU hal yang sangat misteri bahawa Kelantan sebagai semua negeri yang wujud sejak zaman Hoabinianh (10,000 tahun lalu) dan bukti-bukti artifak di Gua Cha telah menunjukkan kewujudan sebuah kehidupan Neolitik (4,000 tahun lalu), tetapi kemunculan sistem politik Kelantan hanya diperkatakan sejak zahirnya zaman Cik Siti Wan Kembang pada abad ke-17M. Adakah tempoh 1,700 tahun sebelumnya, Kelantan berdiri tanpa sebarang kerajaan atau tamadun yang besar?

Melalui catatan-catatan China, telah diketahui bahawa wujudnya kerajaan-kerajaan lama di kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Chih-tu, Tan-tan dan Fo-lo-an. Seorang pengkaji sejarah Kelantan, Datuk Nik Mohammed Saleh telah mengatakan kemungkinan nama-nama itu adalah kerajaan-kerajaan lama di Kelantan berdasarkan fonetik (bunyi) dalam sebutan China. Menurut beliau, mungkinkah Chih-tu adalah Tanah Merah (berdasarkan makna perkataan), Tan-tan adalah (Wakaf) Setan dan Fo-lo-an adalah Bekalan (Pengkalan Datu)? Ia adalah hal yang sangat menarik untuk dikaji dan diteliti.

- Advertisement -

Namun begitu, seorang sarjana Yunani, Claudius Ptolemy yang menulis Geoghraphia pada tahun 150M telah mencatatkan bahawa di Pantai Timur Semenanjung Emas (Chryse Chersonesos) terdapat beberapa kota yang terkenal ketika itu. Antaranya ialah Koli (Colipolis). Para pengkaji mengatakan Koli adalah sebuah kota atau kerajaan yang terletak di Kelantan dan ia wujud pada abad pertama Masehi. Atas asas ini, Ustaz Abdullah Mohamad (Nakula) mempertegaskan mengenai kedudukan Kelantan sebagai pusat kebangkitan Kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara.

Menurut beliau, kemunculan tokoh yang bernama Wan Pa atau Sri Kripawarman sebagai pembangun tamadun awal Melayu pada abad pertama adalah berpusat di Kelantan. Saudaranya, Kaundinyawarman pula telah mengasaskan Kerajaan Gunung (Fu-nan) yang berpusat di Kemboja hari ini pada abad kedua Masehi. Sedangkan seorang lagi saudaranya, Maliniwarman yang lebih dikenali sebagai Wan Malini dikaitkan sebagai bapa kepada raja-raja di Sumatera, terutamanya Palembang seperti yang tercatat di dalam Silalatus Salatin.

Bagi membongkar rahsia ini, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan telah mengadakan slot pengkisahan sejarah Kelantan, Kelantan Berhikayat secara online pada setiap hari Khamis malam Jumaat. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kisah-kisah misteri di dalam sejarah Kelantan Tua yang kami paparkan setiap malam Jumaat ini. Insya-Allah kami akan ke udara pada malam ini dengan kisah-kisah kerajaan terawal di Kelantan. Ikuti kisahnya di page Perbadanan Muzim Negeri Kelantan

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 15/1/2021

Peta India hingga Indochina menurut Ptolemy pada tahun 150M. Perhatikan kedudukan Semenanjung Emas (Chryse Chersonesos) yang begitu menonjol ketika itu.
Kota Koli atau Colipolis yang terletak pada garis 6′ utara bersesuaian dengan kedudukan Kelantan hari ini.
Sri Kripawarman yang dicatatkan sebagai tokoh pembangun Kelantan berdasarkan Riwayat Tradisi Kelantan.
- Advertisement -