TG Abdul Hadi mengatur gerakan politik Melayu-Islam

- Advertisement -

PERHATIAN rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini tertumpu kepada strategi dan pendekatan politik yang diambil oleh PAS, khususnya dalam membentuk hala tuju politik umat Islam. PAS dianggap sebagai ‘king maker’ yang mengatur pergerakan politik orang Melayu Islam yang menjadi tulang belakang politik negara ini. 

Pendekatan-pendekatan politik PAS yang cuba menyatukan orang-orang Melayu Islam yang berada dalam PAS, Umno dan BERSATU lewat Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan kecemburuan besar musuh-musuh politik Islam.

Sebenarnya, tokoh utama di sebalik usaha mengatur pergerakan politik Islam di negara ini ialah Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau telah berjaya menerapkan beberapa pendekatan politik yang teratur dan tersusun dalam memberikan hala tuju baru kepada politik nasional. Pendekatan beliau adalah berasaskan Politik Matang Dan Sejahtera

- Advertisement -

Sebagai Presiden PAS, beliau telah mengemukakan gagasan baru untuk mewujudkan politik perpaduan, bermula dengan kertas kerja ‘Tahaluf Siyasi’ pada 1987, diikuti oleh penglibatan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1989-1996, sebelum berlakunya pendekatan politik multi etnik dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) antara 1999 hingga 2015, dan akhirnya gagasan yang mendahulukan kepentingan nasional digagaskan melalui Kerajaan Perpaduan (UG), MN dan PN.

Pendekatan-pendekatan politik yang sangat progresif ini terbentuk hasil daripada perancangan teratur yang dibuat oleh PAS sebagai sebuah gerakan Islam, dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai aktor utamanya. Sudah pasti ada sisi istimewa yang mempengaruhi pendekatan-pendekatan politik yang istiqbali, fleksibel dan futuristik ini. 

Tokoh yang sangat mempengaruhi beliau adalah Murabbi besarnya, Sheikh Said Hawwa, seorang ulamak dan tokoh Ikhwanul Muslimin yang terkemuka dari Syria. Beliau menadahi gurunya di Madinah selama empat tahun pada dekad 1960-an. Nama Sheikh Said Hawwa tidak perlu lagi diperkenalkan kerana kemasyhuran beliau dalam memimpin dan menjadi ideolog gerakan Islam di seluruh dunia.

Sheikh Said Hawwa telah menulis tidak kurang 10 buah karya mengenai rencana gerakan Islam, antaranya:

(I) Jundullah Thaaqafan wa Akhlaqan.
(II) Min Ajli Khutwah Ila al-Aman.
(III) Al-Madkhal ila Dakwati al-Ikhwan al-Muslimin.
(IV) Jaulatuna fi al-Fiqhiyin al-Kabir.
(V) Fi Afaqi at-Ta’lim.
(VI) Durusun Fi al-Amal al-Islami.
(VII) Fusuhun Fi al-Amrah wa al-Amir.
(VIII) Kai Laa Namdhi Ba’iidan an Ihtiyaajaati.
(IX) Haazihi Tajribati wa Haazihi Syahadati.
(X) Jundullah Takhtitan.

Karya yang terakhir iaitu Jundullah Takhtitan sebenarnya telah memuatkan sebahagian besar pemikiran Sheikh Said Hawwa mengenai perancangan pergerakan Islam yang terkandung di dalam sembilan buku sebelumnya. Pada asasnya, buku Jundullah Takhtitan menggagaskan penekanan kepada dua aspek utama dalam mengatur pergerakan Islam iaitu mengenai perkara-perkara yang menjayakan sesuatu perancangan gerakan Islam dan kedua, rancangan Amal Islam pada masa kini.

Memiliki dan membaca buku ini adalah seumpama satu kewajipan bagi anak-anak gerakan Islam, terutama dalam menghadapi perkembangan politik yang semakin rencam dan mencabar ini. Alhamdulillah, buku Jundullah Takhtitanini telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Ustaz Abu Dzaki dan diterbitkan oleh Pustaka Syuhada, Sentul pada 2001. Semoga buku ini dapat memberikan pencerahan kepada anak-anak gerakan Islam dalam memahami langkah-langkah politik Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara khusus dan strategi politik PAS secara umumnya.

Jika tuan-tuan berminat memiliki buku ini, sila hubungi atau pm saya segera, kerana stok yang ada dalam koleksi saya sangat terhad dan terbuka untuk 10 orang terawal sahaja.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 16/12/2020

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sentiasa membawa pendekatan-pendekatan politik yang futuristik dalam mengatur pergerakan politik Islam.
Sheikh Said Hawwa, tokoh Ikhwanul Muslimun Syria dan bermukim di Madinah. Beliau adalah murabbi Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Terjemahan buku Jundullah Takhtitan dalam bahasa Melayu. Sangat penting dalam memahami strategi dan pergerakan politik Islam masa kini.
- Advertisement -